Thursday, 12, December, 2024
Utama Sukan DSAT Group tawar ambil alih KDA FC

DSAT Group tawar ambil alih KDA FC

oleh Ammar Haziq

Pengerusi Eksekutif Kumpulan DSAT Group, Datuk Seri Azizul Tandek berharap pemilik majoriti kelab Kedah Darul Aman (KDA) FC, Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar dan pemegang taruh yang lain dapat menerima tawaran pihaknya untuk membeli kelab tersebut.

Menurutnya, tawaran berkenaan wajar dipertimbangkan sebaik mungkin demi kebaikan semua pihak terutamanya masa depan Sang Kenari.

Usaha mereka bukan angan-angan kosong apabila telah mengadakan perjumpaan dan berbincang dengan Exco Belia dan Sukan Kedah, Muhammad Radhi Mat Din pada Jumaat lalu tentang perkara tersebut.

“Mungkin dengan perbincangan Exco Belia dan Sukan Kedah mewakili kerajaan negeri, saya berharap Tan Sri Mohd Daud dapat melepaskannya (pemilikan penuh KDA FC)

“Jika Tan Sri memikirkan untuk kebaikan semua pihak khasnya masa depan  KDA FC, perkara mudah (adalah) lepaskan di saat ada pihak yang ingin mengambil alih semua tanggungannya,” katanya.

Jelas Azizul, satu perbincangan sudahpun diadakan pada tahun lalu bersama Mohd Daud tentang pemilikan saham kelab namun hasil perjumpaan itu gagal mencapai kata putus yang diharapkan.

Terdahulu, media melaporkan syarikat tersebut yang baharu sahaja berjaya memiliki pusat perubatan terkemuka, Mahsuri Medical Centre (MMC) di Jitra, Kedah kini memasang impian untuk mengembalikan semula legasi bola sepak Kedah yang dilihat suram pada musim ini.

DSAT Group Sdn Bhd menyatakan hasrat untuk mengambil alih kesemua kepentingan saham dan liabiliti dalam Darulaman Football Club Sdn Bhd (DFCSB) sekaligus menjadi pemilik baharu KDA FC.

Azizul berkata, melihat situasi kelab tersebut ketika ini, beliau terpanggil untuk membantu memulihkan semula pasukan serta menarik kehadiran ribuan penyokong setia Hijau Kuning kembali ke stadium.

“Dengan perancangan dan masalah yang telah dihadapi oleh KDA FC, kami di dalam DSAT Group bersedia untuk bekerjasama memastikan kelab bolasepak KDA FC ini dapat berfungsi dengan baik.

“Perancangan kita akan terus mengukuhkan KDA FC sebagai persatuan ataupun kelab bolasepak terunggul di negeri Kedah dan memastikan masalah yang dihadapi hari ini tidak akan berulang.

“Diharapkan dengan penawaran ini kami menerima maklum balas yang baik dan Insya-Allah akan bersedia untuk menggalas tanggungjawab demi sukan ataupun bola sepak Kedah yang lebih baik,”ujarnya.

Sebelum ini, media melaporkan KDA FC bergelut dengan isu tunggakan gaji para pemain sejak beberapa bulan lalu dan Mohd Daud sedang berusaha mencari penaja bagi menjana sumber kewangan kelab.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com