KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan beliau tetap akan hadir merasmikan majlis pecah tanah dan peletakan batu asas bagi pembinaan masjid di tapak Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman di Jalan Masjid India, pada Khamis ini.
Anwar berkata program akan dijalankan seperti dirancang, meskipun terdapat pandangan berbeza daripada beberapa pihak.
“Majlis agama, syarikat binaan, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL)… semua diminta agar bersederhana.
“Kita bincang dengan baik, cari jalan penyelesaian, kami adalah rakan dan sahabat. Jangan gambarkan kami sebagai orang yang zalim.
“Dalam masa sama, jangan dengar penghasut. Ada hasutan kata, buat masjid tepi kuil, yang salah… tanah itu milik syarikat. Dan kita beri ruang untuk kuil pindah dengan baik,” katanya ketika berucap pada Sambutan Hari Polis Ke-218 di Pusat Latihan Polis di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) di sini, hari ini.
Anwar turut mengingatkan semua pihak termasuk pemimpin politik kerajaan terdahulu supaya tidak cuba mengeruhkan lagi isu tersebut.
“Ada juga bekas menteri yang jadi jaguh walhal kelulusan bina masjid masa mereka berkuasa, kelulusan masa 2019, bukan masa saya (berkuasa).
“Menteri (sekarang) dah datang berunding dua tiga kali, Datuk Bandar pun pergi tempat tu, cukuplah,” katanya.
Sebelum ini, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata tanah berkenaan bukan milik kerajaan, sebaliknya milik syarikat swasta sejak 2012 dan pemiliknya memutuskan untuk membangunkan masjid di lokasi itu.
“Kuil yang lama dan statusnya tidak mendapat kebenaran, tidak sah tetapi bagi memastikan hubungan kita harmoni, syarikat (pemilik tanah) setuju untuk menyalurkan sedikit bantuan manakala pihak DBKL sebenarnya sudah mencari tapak tanah ganti, supaya tidak menjadi masalah.
“Saya juga harap tidak perlu ada respons yang kurang wajar termasuk dalam kalangan masyarakat Islam dan kita tangani dengan baik kerana masjid akan terus dibina, tapak kuil akan disediakan,” katanya.