KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menyifatkan pemergian mantan Perdana Menteri kelima, Tun Abdullah Ahmad Badawi yang meninggal dunia pada Isnin, sebagai kehilangan besar buat negara.
Perdana Menteri mengenang Allahyarham sebagai seorang negarawan ulung yang memimpin dengan penuh kasih sayang dan kebijaksanaan.
Menurut Anwar, Tun Abdullah, atau lebih dikenali sebagai Pak Lah, adalah pemimpin yang sentiasa membawa ketenangan dalam dunia politik yang sering bergolak.
“Beliau memimpin dengan wajah yang tidak marah, tangan yang tidak menggenggam kuasa, dan suara yang tidak meninggi meskipun diasak bertubi-tubi,” katanya.
Pak Lah dikenang sebagai pemimpin yang memperkenalkan Islam Hadhari , satu pendekatan yang berjaya menjambatani kemajuan dan pembangunan dengan nilai-nilai murni.
Di bawah pentadbirannya, negara menyaksikan pelbagai reformasi, termasuk reformasi kehakiman yang memperkukuh keadilan, ketelusan dalam pentadbiran yang meningkatkan kepercayaan rakyat, dan pemerkasaan institusi yang menjamin kestabilan negara.
Pak Lah juga membuka ruang kepada media dan penyertaan awam , memberikan rakyat peluang untuk bersuara.
Melalui Rancangan Malaysia Kesembilan, beliau memacu pertumbuhan ekonomi dengan memberi tumpuan kepada pembangunan insan dan kawasan pedesaan.
Lebih daripada pencapaian pentadbiran, Pak Lah dikenang kerana nilai kemanusiaan dalam kepemimpinan .
Anwar mengimbau bagaimana Allahyarham sentiasa memilih jalan damai, meskipun mudah untuk membalas.
“Ketika saya melalui episod gelap dalam hidup, beliau tidak pernah menambah luka dengan kata-kata nista. Itulah peribadi Pak Lah, seorang pemimpin yang sentiasa memilih damai,” ujar Anwar.
Perdana Menteri, turut menyampaikan ucapan takziah kepada Tun Jeanne Abdullah , Khairy Jamaluddin , dan seluruh keluarga besar Allahyarham.
Beliau mendoakan agar roh Pak Lah ditempatkan dalam kalangan para solihin dan diberikan ganjaran syurga atas segala jasa dan kebajikan yang telah ditabur sepanjang hayatnya.