KUALA LUMPUR: Kerajaan Malaysia menyifatkan tindakan Amerika Syarikat (AS) mengenakan tarif balas sebanyak 24 peratus ke atas import dari Malaysia sebagai tidak adil, mengelirukan dan bercanggah dengan prinsip ekonomi global.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa dakwaan AS kononnya Malaysia mengenakan tarif setinggi 47 peratus ke atas barangan import dari negara itu adalah tidak benar dan tidak berasaskan fakta kukuh.
“Purata tarif Malaysia terhadap import dari AS hanyalah sekitar 5.6 peratus. Dakwaan 47 peratus itu bukan sahaja tidak tepat, malah ditolak oleh banyak negara lain. Pengiraan AS yang membawa kepada tarif balas 24 peratus ini langsung tidak mencerminkan realiti dan tidak berlandaskan teori ekonomi yang mapan,” katanya ketika sesi penerangan khas di Dewan Rakyat hari ini.
Anwar turut menjelaskan bahawa kerajaan memandang serius perkara ini memandangkan AS adalah antara destinasi eksport dan pelaburan utama Malaysia. Delegasi negara yang diketuai Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz telah ke Washington pada 24 April lalu untuk bertemu Wakil Perdagangan AS, Jamieson Greer, bagi menyuarakan bantahan Malaysia secara langsung.
Menurut Anwar, langkah AS itu mencabuli prinsip perdagangan bebas dan adil seperti yang dijunjung oleh Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO), malah bertentangan dengan semangat kerjasama antarabangsa yang dilaungkan sendiri oleh negara kuasa besar itu.
Tambah beliau, isu tarif ini akan dibawa ke peringkat serantau dalam Sidang Kemuncak ASEAN bersama Majlis Kerjasama Teluk (GCC) dan China hujung bulan ini. Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN turut menggerakkan Pasukan Petugas Geoekonomi bagi memperkukuh pemantauan dan dasar bersama.
“ASEAN sepakat untuk tidak membalas tindakan AS dengan langkah keras, sebaliknya memilih meja rundingan sebagai medan penyelesaian. Kita tetap komited menyokong sistem perdagangan pelbagai hala yang berasaskan peraturan,” katanya.