KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan penghargaan terhadap keterbukaan pemimpin Kemboja dan Thailand untuk meneruskan rundingan bagi meredakan ketegangan di sempadan kedua-dua negara.
Anwar berkata beliau telah berhubung dengan Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet dan Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul bagi mendapatkan perkembangan terkini berhubung situasi tersebut.
Menurutnya, Malaysia komited menyokong sebarang usaha dialog aman serta penyelesaian yang berpandukan undang-undang antarabangsa bagi memastikan kestabilan serantau terus terpelihara.
“Walaupun resolusi muktamad masih belum dicapai, penglibatan diplomatik yang berterusan memastikan tiada insiden serius berlaku pada waktu kritikal ini.
“Malaysia akan terus menyokong dialog aman dan mengukuhkan kerjasama serantau demi menjaga keselamatan dan kestabilan wilayah yang dikongsi bersama,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Konflik sempadan Kemboja–Thailand yang berlarutan sejak lebih 100 tahun kembali tegang Julai lalu sehingga mencetuskan pertempuran selama lima hari.
Kedua-dua negara bersetuju melaksanakan gencatan senjata di Kuala Lumpur pada 24 Julai sebelum menandatangani Perjanjian Damai Kuala Lumpur pada 26 Oktober sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 yang turut disaksikan Anwar selaku Pengerusi ASEAN serta Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump.
Bagaimanapun, insiden pertempuran kembali tercetus Isnin lalu, mengakibatkan beberapa kematian dan ribuan penduduk terpaksa berpindah.