Friday, 22, November, 2024
Utama Politik PRN medan mengajar pengkhianat PKR

PRN medan mengajar pengkhianat PKR

oleh admin

SEREMBAN – Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 12 Ogos ini adalah medan untuk mengajar pengkhianat kepada parti itu.

Perdana Menteri itu turut mengambil contoh dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Ampangan dan Hulu Kelang yang masing-masing ditandingi oleh bekas pemimpin parti itu iaitu Datuk Dr Mohamad Rafie Ab Malek dan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

“Ampangan penting kerana ada pengkhianatan dari dalam PKR. Di mana-mana saya ajar, satu hal yang tidak boleh diizinkan pengkhianatan dalam perjuangan.

“Sebab itu saya dan (Pengerusi Barisan Nasional) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, akan ke Hulu Kelang sekali lagi pada hari Khamis malam untuk mengajar si pengkhianat, si kitol dan raja mendeliar.

“Dalam sejarah budaya Melayu, tidak akan ampunkan pengkhianat,” katanya semasa berucap pada Jelajah Perpaduan Madani Negeri Sembilan di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi malam tadi.

Anwar yang merupakan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) menerusi ceramahnya turut mempersoalkan mengapa PAS dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) ketika memerintah kerajaan sebelum ini tidak membuat mesyuarat penyelarasan gaji dan elaun untuk penjawat awam, polis serta tentera.

Beliau turut menafikan bahawa pengumuman penyelarasan gaji dan elaun olehnya ada kaitan dengan PRN yang berlangsung di enam negeri.

“Ini bukan sebab PRN enam negeri, tidak! Dari awal saya ambil alih (kerajaan) bulan Januari, saya sebut kita kena kaji semula skim gaji dan pencen penjawat awam, polis, tentera dan semuanya.

“Soalnya mengapa PAS dan BERSATU tak buat mesyuarat ini? Mengapa tidak ada rancangan? Masa ada kuasa pasal apa tak tolong polis, tentera, pekerja dan penjawat awam. Ini soalnya,” katanya.

Beliau berkata, pilihan raya ini juga adalah bagi memilih parti dan kerajaan yang mampu untuk melakukan perkara seperti itu.

Sebelum ini dilaporkan, Kabinet akan membincangkan Dasar Gaji Progresif bagi memperhalusi pelaksanaannya secara berperingkat.

Anwar dilaporkan berkata, ia juga bagi meneroka keperluan memperuntukkan dana sebagai insentif dasar yang akan ditentukan mengikut kedudukan kewangan kerajaan dan keperluan dasar.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com