Thursday, 2, May, 2024
Utama Politik Calon MB : BN Kedah serah kepada pucuk pimpinan tertinggi

Calon MB : BN Kedah serah kepada pucuk pimpinan tertinggi

oleh Ammar Haziq

ALOR SETAR – Barisan Nasional (BN) Kedah menyerahkan kepada kepimpinan tertinggi parti dalam menentukan siapa calon Menteri Besar yang akan dipilih jika Kerajaan Perpaduan menang dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti.

Pengerusi BN Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, perkara itu tertakluk kepada keputusan pucuk pimpinan dan pihaknya bersedia menerima sesiapa sahaja yang diputuskan kelak.

“Kita serahkan kepada pucuk pimpinan untuk memutuskan soal Menteri Besar, sekiranya BN-PH jadi kerajaan di Kedah, sebab itu keputusan pucuk pimpinan.

Biarpun UMNO negeri boleh berikan cadangan calon Menteri Besar, tetapi keputusan muktamad diputuskan oleh pimpinan tertinggi.”

Beliau berkata demikian dalam sidang media di sini hari ini.

Jelas Mahdzir, kepimpinan parti di peringkat negeri sekadar boleh memberikan cadangan calon Menteri Besar kepada UMNO Pusat untuk dirundingkan bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Semalam, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, UMNO akan memberi sokongan kepada sesiapa sahaja yang dipilih oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menjadi Menteri Besar Kedah, sama ada dari BN atau PH sekiranya Kerajaan Perpaduan menang dalam PRN nanti.

Ketika berucap sempena Jelajah Perpaduan Madani dan Pelancaran Jentera Perpaduan Kedah di Guar Chempedak, beliau tegaskan, apa yang lebih penting ketika ini adalah keserasian antara gabungan tersebut.

Ditanya mengenai kemungkinan Kedah akan ditadbir oleh Menteri Besar dari BN sekiranya dapat menumbangkan kerajaan Perikatan Nasional (PN), Mahdzir optimis dan berharap ia menjadi kenyataan.

“Alhamdulillah, kalau (dakwaan itu) betul. Namun kita harus serah kepada pucuk pimpinan untuk putuskan,” jelasnya.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas sama ada BN akan mengitar semula calon Menteri Besar seperti yang berlaku pada era pemerintahan Datuk Seri Mukhriz Mahathir yang dilantik menerajui Kedah sebanyak dua kali.

Mengulas sama ada calon Menteri Besar akan dipilih daripada parti yang memenangi paling banyak kerusi PRN, Mahdzir berkata, ia bukan syarat wajib dalam pemilihan Menteri Besar.

“Terserahlah kepada pucuk pimpinan, ada negeri yang tak sampai (menang lebih banyak kerusi) pun jadi juga Menteri Besar,” katanya.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com