ALOR SETAR – Pas Kedah kini bersedia untuk menerajui pentadbiran kerajaan negeri ini selepas mendapati perubahan kuasa tersebut sudah tidak dapat dielakkan lagi.
Pesuruhjaya Pas Negeri Kedah, Ustaz Ahmad Yahaya berkata, kepincangan dan perpecahan yang berlaku dalam Pakatan Harapan (PH) Kedah sukar dikawal lagi serta memperlihatkan kelemahan gabungan itu dalam mengurus tadbir negeri Kedah.
Menurutnya, Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir sekarang juga bukan lagi Pengerusi PH Kedah apabila beliau hanya mampu melihat tanpa berhak mencatur pergerakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada PKR kerana dari sudut gabungan, PKR dan Bersatu tidak lagi sehaluan.
Katanya, kenyataan ADUN Sidam, Dr. Robert Ling Kui Ee pada 4 Mei lalu melalui akaun Facebooknya yang mempertikaikan keputusan pemecatan timbalannya di Cabang PKR Sungai Petani dan ramai lagi kepimpinan cabang di Kedah memperlihatkan ADUN itu sudah tidak sehaluan dengan kepimpinan PH Kedah.
“Bakal ada beberapa ADUN PKR lain akan mengikuti langkah beliau dan ia mengurangkan jumlah kerusi penguasaan PH.
“Kecelaruan iklim politik yang dipamerkan PH ini telah memberikan kesan negatif terhadap penumpuan memajukan negeri dan rakyat menerima tempias buruk akibat perbalahan pemimpin PH,” katanya dalam kenyataannya yang dikeluarkan di sini hari ini.
Selain itu, Ahmad berkata, Mukhriz juga dalam keadaan amat lemah kerana daripada enam ADUN Bersatu Kedah, tidak sampai separuh yang berpihak kepadanya memandangkan banyak kelemahannya yang gagal diperbaiki.
“ADUN-ADUN dalam Parti Bersatu Pribumi Malaysia (Bersatu) Kedah juga dilihat canggung dengan tindakan Bersatu Kedah yang masih berkerjasama dengan PH untuk menjadi negeri pembangkang yang sekali gus melawan arus kerana Perdana Menteri adalah Presiden parti mereka sendiri.
“Pada dasarnya, PH telah tempang dan kehilangan majoriti untuk menerajui kerajaan negeri Kedah, perubahan kerajaan negeri sudah tidak dapat dielakkan lagi,” ujarnya.
Justeru, Ahmad menjelaskan, Pas Kedah yang memiliki 15 kerusi DUN di Kedah, jumlah paling tinggi dalam kalangan parti yang ada di Kedah bersedia menerajui pentadbiran kerajaan negeri ini.
“Atas semangat Muafakat Nasional Pas-UMNO, kami memiliki lagi dua kerusi milik UMNO menjadikan kesemuanya 17 kerusi DUN.
“Keyakinan ini turut mengambil kira kredibiliti calon menteri besar dalam kalangan ADUN Pas yang mempunyai pengalaman dan rekod yang bersih sepanjang bersama dalam kerajaan negeri ketika era Pas mentadbir Kedah 2008-2013 lalu,” katanya. – KG