Friday, 26, April, 2024
Utama Politik BN akan tentukan kerusi parti gabungan selepas senarai calon dimuktamadkan

BN akan tentukan kerusi parti gabungan selepas senarai calon dimuktamadkan

oleh admin

ALOR SETAR, 27 Okt – Barisan Nasional (BN) akan memuktamadkan senarai calonnya terlebih dahulu sebelum menentukan kerusi tertentu kepada parti gabungannya (Friends of BN).

Menurut Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid, pucuk pimpinan BN dijangka memuktamadkan senarai akhir calon Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) dalam masa terdekat.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid

“BN ada empat parti komponen dan kita perlu selesaikan dahulu pembahagian kerusi untuk parti komponen yang dalam proses dimuktamadkan, kemudian baharu kita tentukan kedudukan parti ‘Friends of BN’ ini.

“Penentuan di mana kerusi parti ‘Friends of BN’ ini, sama ada di Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN) akan diputuskan Pengerusi BN, sebelum penamaan calon 5 November kita boleh tahu keputusannya”.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Konvokesyen Kemahiran Malaysia Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) Ke-13 di sini hari ini.

Jelas Mahdzir, sebaik urusan senarai calon itu selesai, keputusan sama ada menyerahkan kerusi untuk ditandingi parti gabungan dapat diputuskan dan diluluskan oleh Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO sebelum ini memaklumkan, akan mempertimbang memilih calon daripada parti gabungan bertanding dalam PRU-15 berikutan jasa mereka membantu kemenangan BN dalam siri pilihan raya kecil (PRK) dan negeri.

Antara yang disebut bakal bertanding mewakili parti gabungan adalah penyandang kerusi Parlimen Ampang, Datuk Zuraida Kamaruddin yang dijangka bertanding mewakili BN selepas Parti Bangsa Malaysia (PBM) memohon menjadi parti gabungan.

Mengulas mengenai kenyataan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Kedah, Datuk Mahfuz Omar, bahawa gabungan itu bakal menang di 15 kerusi Parlimen di Kedah, beliau berkata setiap parti perlu berfikir secara munasabah dalam meletakkan sasaran.

“Saya kenal Mahfuz secara peribadi, kalau ada 16 kerusi Parlimen pun dia akan kata (menang) 16, nasib ada 15 (kerusi Parlimen) sahaja di Kedah dan nasib dia tak terlajak kata 16 (kerusi Parlimen).

Saya berasakan setiap pihak kena berfikir secara munasabah, saya tak fikir apa yang Mahfuz cakap akan jadi kenyataan, dia pun main tembak sahaja, jadi tak apa, biarkan dia,” katanya.

Semalam, Mahfuz yang juga penyandang kerusi Parlimen Pokok Sena, memaklumkan PH akan meletakkan calon di semua 15 kerusi Parlimen di Kedah dan yakin menang di semua kerusi terbabit pada PRU-15.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com