SHAH ALAM, 23 Ogos – Satu lagi jenama motosikal keluaran tempatan bakal memasuki pasaran pada suku ketiga tahun depan.
Ia hasil projek usahasama antara Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan syarikat AFY Mobility Industries Sdn. Bhd (A.M.I) yang diberi nama Projek AM-2.
Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, kerjasama itu membawa MARA selangkah lagi ke hadapan khususnya dalam teknologi dan industri permotoran nasional.
“Kita sedar masa hadapan industri motosikal sedang meningkat naik seiring dengan perkembangan ekonomi gig.
Saya yakin Projek AM-2 ini bakal memberi impak positif kepada industri dan juga MARA selaras dengan visi dan aspirasi kementerian dalam memperkasakan ekonomi Keluarga Malaysia.”
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Projek Pembangunan Motosikal Jenama Tempatan AM-2 di sini hari ini.
Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB), Datuk Ramlan Harun, Ketua Pengarah MARA, Datuk Azhar Abdul Manaf, Pengerusi MARA Corporation, Senator Datuk Othman Aziz dan Pengerusi Eksekutif Kumpulan AFY Mobility Industries Sdn Bhd, Mohd Faez Tan Sri Yahaya.
Tambah Mahdzir, kerjasama itu juga bakal membuka peluang penempatan latihan industri kepada pelajar-pelajar TVET MARA.
Ia menerusi latihan praktikal yang dikendali secara langsung oleh tenaga pakar A.M.I dengan konsep “Teaching Factory”.
“Kerjasama dari aspek penyelidikan telah pun bermula dengan membangunkan Product Development Centre untuk tujuan Research And Development (R&D).
Kerjasama ini adalah gabungan kepakaran dari pasukan R&D A.M.I dan German-Malaysian Institute (GMI).”
Kerjasama itu juga jelas Mahdzir, akan membantu mempercepatkan lagi proses pembangunan vendor dan tenaga kerja mahir serta penyelidikan dan pembangunan (R&D) di peringkat MARA.
Selain itu, kerjasama turut merangkumi pelaburan strategik bagi membangunkan jenama dan hub pengeluaran motosikal Malaysia untuk pasaran rantau Asia Pasifik dan domestik.
Turut diberi tumpuan, pembangunan vendor dan usahawan Bumiputera yang secara tidak langsung akan membuka peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan.
“Sejak tahun 2017, seramai 60 pelatih GIATMARA telah menjalani latihan industri di A.M.I dan masih berterusan hingga ke hari ini.
Saya berharap program penempatan latihan industri ini dapat diteruskan bagi menyokong peningkatan kebolehpasaran graduan TVET MARA”, kata Mahdzir.
Sementara itu, Pengerusi Eksekutif Kumpulan A.M.I, Ahmad Faez berkata, usahasama A.M.I dan MARA itu bakal mencipta satu dimensi baharu dalam industri pembuatan motosikal di negara ini yang melibatkan kepakaran pelajar TVET MARA dan pembangunan vendor Bumiputera.
“Saya berharap dengan sokongan padu daripada pihak kementerian dan MARA dalam Projek Pembangunan Motosikal ini dapat merealisasikan objektif syarikat kami untuk mengangkat nama Malaysia dalam industri dua roda,” katanya.