Friday, 26, April, 2024
Utama Sukan Papua New Guinea ganti Yemen lawan Harimau Malaya

Papua New Guinea ganti Yemen lawan Harimau Malaya

oleh Ammar Haziq
Malaysia akan berdepan Papua New Guinea pada 20 Jun depan pada aksi persahabatan antarabangsa mengantikan Yemen yang terpaksa menarik diri. FOTO FAM

KUALA LUMPUR – Perlawanan Antarabangsa Tier 1 di antara skuad Harimau Malaya kendalian Kim Pan Gon menentang Yemen yang dijadual berlangsung di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kuala Terengganu pada 20 Jun ini terpaksa dibatalkan.

Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Noor Azman Rahman berkata, pihaknya menerima surat makluman rasmi daripada Persatuan Bola Sepak Yemen (YFA) pada semalam.

Menurutnya, YFA menyatakan hasrat membatalkan perlawanan tersebut atas alasan ketiadaan pemain utamanya kerana menyertai skuad B-23 negara berkenaan ke West Asian Championship di Iraq.

“Pembatalan saat akhir daripada pihak YFA ini sekali gus memaksa FAM perlu mencari segera pasukan pengganti sesuai dalam masa yang agak suntuk dengan pilihan terhad memandangkan kebanyakan pasukan lain sudah mempunyai lawan masing-masing pada kalendar FIFA kali ini,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Menurutnya, selepas menghubungi beberapa pasukan, FAM akhirnya berjaya mendapat persetujuan daripada Papua New Guinea sebagai pasukan pengganti untuk bertemu skuad Harimau Malaya di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin.

Terdahulu skuad Harimau Malaya akan berdepan pasukan di ranking ke-134 dunia, Kepulauan Solomon bagi satu lagi Perlawanan Antarabangsa Tier 1 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin pada Rabu, 14 Jun 2023.

Sebagai rekod, Yemen di kedudukan ranking ke-157 dunia manakala Papua New Guinea ke-159 dunia, berbanding Malaysia ke-138 dunia.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com