Wednesday, 15, May, 2024
Utama Mahkamah & Jenayah Sembilan individu disyaki teroka REE di Hutan Simpan Rimba Teloi, Sik

Sembilan individu disyaki teroka REE di Hutan Simpan Rimba Teloi, Sik

oleh Ammar Haziq

ALOR SETAR – Sembilan individu yang didakwa di Mahkamah Sesyen Baling pada Ahad atas tuduhan menceroboh Hutan Simpan Rimba Teloi di Sik pada 14 September lalu disyaki sedang menjalankan penerokaan unsur nadir bumi (REE).


Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh berkata, aktiviti penerokaan REE tersebut didapati dijalankan selama empat bulan sebelum ini tidak melibatkan mana-mana pihak.


Menurutnya, hasil siasatan awal mendapati kesemua individu tersebut disyaki mencari lokasi dan semua suspek gagal kemukakan apa-apa surat kebenaran untuk teroka sumber REE dan surat kebenaran memasuki Hutan Simpan Rimba Teloi.


“Contoh tanah disyaki untuk pengesanan REE juga turut dirampas. Individu warga asing terbabit memiliki permit sah untuk perkhidmatan lain di negara ini tetapi menyalah gunakannya untuk penerokaan REE,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah pada Ahad.


Jelas Fisol, polis memberikan amaran tegas dan akan mengambil sebarang tindakan terhadap aktiviti perlombongan REE haram di Kedah.


Pada Ahad, sembilan individu termasuk lima warga asing tidak mengaku bersalah pada Ahad atas pertuduhan menceroboh Hutan Simpan Rimba Teloi di Sik pada 14 September lalu.


Mereka membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan berasingan di hadapan Hakim Najwa Che Mat di Mahkamah Sesyen di sini.


Berdasarkan pertuduhan, Tho Wei Loon, 45, Chen Wei Ming, 45, Zarhabi Shaari, 61, dan Abdul Halim Nawang, 61, yang merupakan rakyat tempatan dituduh memasuki kawasan hutan tertutup iaitu Kompartment 35 Hutan Simpan Rimba Teloi pada jam 4.12 petang 14 September lalu.


Lima lagi tertuduh iaitu Li Juemin, 49, warganegara China, Aswadi, 43, Dedy Junaidi, 40, Muhamad Zaenuri, 31 dan Nasron, 51, yang merupakan warganegara Indonesia turut didakwa pertuduhan yang sama.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com