Monday, 29, April, 2024
Utama Negeri Pro-Canselor UUM ingatkan empat fasa dalam hidup graduan

Pro-Canselor UUM ingatkan empat fasa dalam hidup graduan

oleh Ammar Haziq

SINTOK – Pro-Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM), Yang Mulia Tengku Tan Sri (Dr.) Dato’ Paduka Mahaleel Tengku Ariff mengemukakan empat fasa dalam hidup kepada graduan universiti ini yang perlu mereka lalui untuk mencapai ilmu dan menjadi intelek dalam dunia baru kini.

Katanya, fasa pertama yang dilalui mereka selepas dilahirkan ialah penjagaan dari ibu bapa yang menanggung dengan penuh sabar dan mengharungi karenah anak-anak dalam prinsip kehidupan.

“Saya dapat merasai kesabaran ibu bapa dalam menjaga kita kerana saya sendiri juga nakal dan pernah dimarahi oleh ayahanda kerana tidak faham dengan bahaya ketika saya bermain dengan elektrik ketika kecil,” ujar beliau dalam ucapan kepada graduan sesi ke-empat sempena Konvokesyen ke-36 universiti ini.

Namun dalam kehidupan seterusnya dengan apa yang dipelajari di rumah kita beralih pula ke peringkat sekolah hingga ke peringkat universiti.

Pastinya di sinilah permulaan untuk kita mula mengumpul ilmu akademik dan juga bertemu dengan kawan-kawan dan berdamping dengan guru dan pensyarah sebelum beralih ke fasa ketiga yang memfokuskan kepada kejayaan dalam bidang akademik, sukan dan lain-lain aktiviti.

Beliau turut memberi contoh penglibatannya di mana beliau membuat persiapan dalam penglibatan untuk menyertai pertandingan dengan misi untuk memperoleh kemenangan.

Moto yang dipegang beliau ialah apa sahaja yang dibuat mensasarkan tempat pertama dan sentiasa beroleh kejayaan.

Graduan yang cemerlang bukan sahaja perlu peroleh kejayaan dalam akademik dan aktiviti malah mereka juga perlu mahir dalam pelbagai bahasa seperti bahasa Inggeris, Mandarin dan Sepanyol juga.

Katanya dalam fasa inilah mereka perlu berdikari dan berintegriti dalam mengharungi kehidupan dialam pekerjaan nanti.

“Di sinilah segala pembelajaran dan penglibatan kita ketika di universiti ini diterjemahkan ketika kita mula berkerja nanti,” ujar ketika berucap kepada 821 graduan Ijazah Sarjana Muda dari Kolej Undang-undang, Kerajaan & Pengajian Antarabangsa (UUM -COLGIS).

Dengan fasa kehidupan yang dilalui dari penjagaan ibu bapa, alam persekolahan dan universiti kini semua graduan yang menerima ijazah masing-masing pastinya telah bersedia untuk beralih kearah bidang pekerjaan dan kehidupan sebenar.

Konvokesyen sesi ke-empat ini di turut menyaksikan kehadiran ibu bapa dan keluarga graduan dari kampus ini.

Dalam pada itu Tengku Tan Sri (Dr.) Dato’ Paduka Mahaleel turut meluangkan masa untuk bergambar dan bermesra dengan para graduan di Foyer Dewan Muadzam Shah UUM.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com