Saturday, 4, May, 2024
Utama Negeri Lelaki sapa ‘hai’ sebelum rompak emas RM178,000

Lelaki sapa ‘hai’ sebelum rompak emas RM178,000

oleh Ammar Haziq

ALOR SETAR – Pemilik sebuah kedai emas di Jalan Langgar, di sini kerugian RM178,000 selepas kedainya dirompak seorang lelaki bersenjatakan ‘pump gun’ pada Ahad.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Setar, Superintendan Syed Basri Syed Ali berkata, dalam kejadian 5 petang itu, siasatan mendapati, suspek datang seorang diri dan masuk ke dalam kedai emas itu dan berkata ‘hai’ kepada pekerja wanita terbabit.

Menurutnya, suspek dipercayai berbadan gempal dan tinggi kira-kira 170 sentimeter dan memakai topi keledar berwarna putih, baju jaket warna biru, seluar panjang hitam, kasut hitam dan membawa sebuah beg badminton.

“Selepas suspek meletakkan beg di atas lantai, dia membuka beg kemudian mengeluarkan ‘pump gun’ dan mengacu terlebih dahulu ke arah pekerja wanita berkenaan,” katanya.

Jelasnya, suspek yang memakai sarung tangan mengeluarkan kapak dari beg, lalu bertindak memecahkan cermin meja pameran beberapa kali sehingga ia pecah.

Lelaki tersebut berjaya mengambil barang kemas daripada meja pameran iaitu dua dulang berisi 32 utas rantai emas bernilai RM178,000.

“Suspek memasukkan barang kemas ke dalam beg dan terus melarikan diri menaiki sebuah motosikal jenis Suzuki Raider.

“Ketika kejadian, tiada pelanggan dan hanya seorang pekerja wanita dan seorang wanita dipercayai pengurus kedai serta lelaki iaitu anak kepada pemilik kedai,” katanya.

Syed Basri berkata, polis telah memeriksa Kamera Litar Tertutup (CCTV) dan siasatan masih dijalankan bagi mengenal pasti indentiti suspek dan kes disiasat mengikut Seksyen 4 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com