Saturday, 4, May, 2024
Utama Negeri Tiga gudang simpanan barang terpakai terbakar, dipercayai tiada permit

Tiga gudang simpanan barang terpakai terbakar, dipercayai tiada permit

oleh Ammar Haziq

SUNGAI PETANI – Tiga gudang penyimpanan barangan terpakai seperti logam, wayar dan tembaga di Bukit Selambau, di sini yang musnah dalam kebakaran, pada malam Ahad dipercayai beroperasi tanpa permit.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, gudang terbabit dipercayai menjalankan operasi memproses aloy kepada aluminium yang diambil dari barang-barang elektronik terpakai.

Beliau berkata, berdasarkan temubual saksi di lokasi kejadian dengan seorang lelaki warganegara China dipercayai juruteknik kilang berkenaan yang dibantu jurubahasa lelaki tempatan memaklumkan, dia menyedari kejadian itu pada jam 7.50 malam selepas ternampak api besar dalam kawasan kilang.

“Saksi merasa takut dan terus keluar melarikan diri ikut pintu belakang selain memaklumkan gudang itu beroperasi sejak lima bulan lalu.

“Bagaimanapun setakat ini polis masih mengesan pemilik kilang yang dipercayai menghilangkan diri selepas kejadian.

“Polis turut menunggu laporan daripada pihak Bomba bagi mengetahui punca kebakaran dan nilai kerugian,” katanya.

Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Wan Mohd Hamizi Wan Mohd Zin berkata, kebakaran bermula jam 7.57 petang dan api berjaya dikawal jam 10 malam tadi.

Beliau berkata, Pusat Kawalan Operasi (PGO) JBPM Kedah sudah menghubungi Pasukan Khas Pengurusan Bahan Berbahaya (HAZMAT) ke lokasi untuk melakukan pemeriksaan.

“Komander Operasi melaporkan, pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) sudah mematikan bekalan elektrik di kawasan gudang berkenaan untuk memudahkan operasi dilakukan.

“Operasi dibahagikan kepada empat sektor (4 gudang) iaitu sektor pertama, kedua, ketiga manakala sektor empat dimaklumkan tiada kemerebakan api berlaku.

“Pada mula kami dimaklumkan kebakaran membabitkan sebuah kilang namun hasil siasatan mendapati ia membabitkan tiga gudang,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Wan Mohd Hamizi berkata, operasi pemadaman turut membabitkan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Aman Jaya, Sungai Petani, Kulim Hi-Tech dan Yan.

Selain itu, ia turut dibantu Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Bukit Selambau, PBS Jeniang, Semeling, Bedong, Sik, Gurun dan Kota Sarang Semut.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com