Tuesday, 30, April, 2024
Utama Sukan Jakel taja baju raya Harimau Malaya B-23

Jakel taja baju raya Harimau Malaya B-23

oleh Ammar Haziq

Sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri, syarikat tekstil gergasi termuka negara, Jakeltextile telah menaja baju raya skuad Harimau Malaya B-23 kendalian Juan Torres Garrido yang kini berada di Doha, Qatar bagi menghadapi Piala Asia B-23 2024 yang akan berlangsung bermula 15 April ini.

Tajaan berbentuk set baju Melayu berserta samping dan songkok itu telah diserahkan kepada kesemua 23 pemain termasuk 14 pegawai sebelum skuad muda kebangsaan itu terbang ke Qatar pada 1 April lalu.

Baju raya tersebut telah diperagakan oleh skuad Harimau Malaya B-23 ketika berkunjung ke Kedutaan Besar Malaysia di Doha, Qatar bagi sambutan Hari Raya Aidilfitri. Ia turut disertai oleh Duta Besar Malaysia ke Qatar, TYT Zamshari Shaharan.

Ketua Jurulatih Harimau Malaya B-23, Juan Torres Garrido menzahirkan ucapan terima kasih kepada Jakel yang telah hadir untuk menaja baju raya buat skuad kendaliannya ketika jauh dari tanah air.

“Tajaan baju raya ini sedikit sebanyak dapat mengubati kerinduan barisan pemain saya yang tidak dapat menyambut perayaan Hari Raya Aidilfitri bersama keluarga pada tahun ini.

“Terima kasih Jakel di atas keprihatinan anda dan saya percaya ini dapat memberi lonjakan motivasi kepada pemain-pemain saya pada aksi pertama Piala Asia B-23 2024 nanti,” kata Juan.

Skuad Harimau Malaya B-23 bakal memulakan aksi Kumpulan D dengan perlawanan pertama menentang Uzbekistan pada 17 April diikuti aksi bertemu Vietnam pada 20 April di Stadium Antarabangsa Khalifa dan Kuwait pada 23 April 2023 di Stadium Al Janoub.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com