Saturday, 27, July, 2024
Utama Mahkamah & Jenayah SPRM Kedah tahan tiga anggota penguat kuasa disyaki terima rasuah RM36,000

SPRM Kedah tahan tiga anggota penguat kuasa disyaki terima rasuah RM36,000

oleh Ammar Haziq

SUNGAI PETANI – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kedah telah menahan reman tiga anggota penguat kuasa dari dua agensi kerajaan yang berbeza kerana disyaki meminta dan menerima rasuah kira-kira RM36,000 bagi melindungi kegiatan rumah urut di sekitar negeri tersebut.

Menurut sumber, kesemua suspek lelaki berusia sekitar 30-an hingga 40-an telah ditahan semalam antara pukul 8 hingga 12 tengah malam ketika hadir bagi memberi keterangan di Pejabat SPRM cawangan Sungai Petani.

Susulan penahanan itu, suspek telah dibawa ke Mahkamah Majistret Sungai Petani, Kedah pagi tadi dan perintah reman selama empat hari bermula rABU sehingga 18 Mei 2024 terhadap suspek telah dikeluarkan oleh Majistret Khairatul Animah Jelani.

“Suspek dipercayai melakukan perbuatan tersebut pada Januari tahun lalu dan menerima bayaran secara bulanan yang mencecah sehingga kira-kira RM6,000 bagi melindungi pekerja rumah urut yang tidak mempunyai permit kerja yang sah.

“Siasatan dipergiatkan dan tidak menolak kemungkinan terdapat dalang lain yang terlibat,” katanya.

Sementara itu, Pengarah SPRM Kedah, Ahmad Nizam Ismail ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan kes disiasat di bawah Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com