Sunday, 28, April, 2024
Utama Negeri Ayam sejuk beku RM RM275,640 dirampas, istihar tidak tepat

Ayam sejuk beku RM RM275,640 dirampas, istihar tidak tepat

oleh Ammar Haziq

BUKIT KAYU HITAM -Sebanyak 27,564 Kilogram (kg) keratan ayam sejuk beku bernilai lebih RM275,640 dirampas Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Negeri Kedah di di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam di sini Selasa lalu.

Pengarah MAQIS Negeri Kedah, Hisham Abu Bakar, rampasan dilakukan selepas pemeriksaan terhadap sebuah lori kontena pada jam 12 tengah hari yang membawa barangan dengan borang pengistiharan yang meragukan.

“Hasil pemeriksaan yang dilakukan, sebanyak 1,257 kotak seberat 15,084 kg keratan ayam sejuk beku yang diisytiharkan adalah tidak tepat dan mengelirukan.

“Selain itu, sebanyak 1,040 kotak seberat 12,489 kg keratan ayam sejuk beku tidak memiliki sijil halal dan sijil Kesihatan.

“Kesemua barangan ini dirampas dan ditahan untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Hisham berkata, kes di siasat di bawah Seksyen 13 dan Seksyen 15, Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728) yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tidak melebihi enam tahun atau denda tidak melebihi RM100,000 atau kedua-duanya sekali.

Menurutnya, tindakan penguatkuasaaan undang-undang melalui operasi bersama agensi akan terus diperkasakan bagi memastikan tumbuhan, karkas, ikan dan hasilan pertanian bebas daripada ancaman perosak dan penyakit berjangkit serta mematuhi syarat dan peraturan yang telah ditetapkan.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com