KUALA KEDAH – Sepasang suami isteri yang menaiki motosikal bersama bayi mereka berusia 11 bulan yang memakai alat bantuan pernafasan untuk ke hospital mendapatkan rawatan tidak menyangka video mereka tular di media sosial.
Lebih mengejutkan mereka adalah perkara tersebut turut mendapat perhatian pelbagai pihak termasuklah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Bapa bayi itu, Mohd Azlan Ishak, 36, berkata, dia hanya tahu kisah bayi mereka yang perlu memakai alat bantuan pernafasan Continuous Positive Airway Pressure (CPAP) kerana menghidap penyakit paru-paru kronik tular selepas dimaklumkan isteri, Norhidayu Halim, 35 pada Isnin.
“Kami memang sentiasa berulang alik ke hospital dengan menaiki motosikal sahaja membawa Mohd Aariz Zafran bagi mendapatkan rawatan.
“Motosikal itu satu-satunya kenderaan yang kami ada dan walaupun sedar anak kami yang kurang sihat tidak sepatutnya dibawa menaiki motosikal, namun kami terpaksa kerana tiada kereta,”katanya semasa ditemui di Taman Kota Nelayan, di sini, pada Selasa.
Menurutnya, hidup mereka umpama kais pagi makan pagi dan kais petang makan petang kerana bergantung pada gaji harian.
“Jika bekerja barulah ada gaji, itupun saya tidak bekerja selama 12 hari disebabkan terkena demam campak hingga kami terputus bekalan makanan beberapa hari pada minggu lepas,”katanya yang meraih pendapatan harian sebanyak RM50 sehari sebagai pembantu di pelantar ikan di Kuala Kedah.
“Kami bukan hanya tidak mampu membeli makanan, malah tidak dapat membeli barangan keperluan Mohd Aariz dan lampin pakai buangnya.
“Kami tidak tahu hendak buat apa lalu ke Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK). Alhamdulillah, kami dapat bantuan wang segera, yang mana wang itu digunakan untuk membeli lampin pakai buang dan makanan,” ujarnya.
Sementara itu, isterinya, Norhidayu berkata, masalah kesihatan anak lelakinya itu dikesan doktor semasa berusia dua bulan.
Menurutnya, ketika itu dia membawa abangnya,Iman Fayruzz Mikhail Abdul Rahim, 9, yang merupakan hasil perkongsian hidup dengan bekas suami mendapatkan rawatan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB).
“Ketika membawa Iman yang turut menghidap sakit kronik termasuk jantung berlubang, saya melihat keadaan Mohd Aariz agak pelik apabila ada lekuk di dada ketika bernafas lalu meminta doktor memeriksa keadaannya.
“Sejak itulah Mohd Aariz perlu memakai mesin CPAP sepanjang masa dan dia akan sukar bernafas sekiranya tidak memakai alat bantuan penafasan itu sebab mengidap pelbagai masalah kesihatan kronik termasuklah penyakit paru-paru kronik, gerd dan saiz limpa besar,” katanya.
Norhidayu berkata,disebabkan itu, Mohd Aariz bergantung sepenuhnya kepada alat bantuan pernafasan dan susu untuk meneruskan hidup.
“Kami tidak mampu beli susu khas dan cuba berinya minum nestum namuj Mohd Aariz tidak boleh menjamahnya disebabkan keadaan kesihatannya.Jikalau makan juga, dia akan mengalami gastrik,”katanya.
Tambah surirumah itu, selain Mohd Aariz dan Iman, dia juga memiliki anak lagi iaitu Ahmad Hafizi, 17, yang menghidap cerebral palsy, Ahmad Amirul Amin, 14, dan Nur Rabbiatul Husna,4.
Bagaimanapun, katanya, tiga anaknya kecuali Nur Rabbiatul dijaga ibu bapanya disebabkan dia dan suami tidak berkemampuan dari segi kewangan dan pendapatan di pelantar ikan adakalanya tidak cukup.
Orang ramai yang ingin membantu Mohd Aariz boleh melakukannya dengan menyalurkan sumbangan melalui akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) isterinya, NorHidayu Halim (0210029000677695).