Sunday, 14, July, 2024
Utama Negeri “Kami tidak tahu ke mana mahu pindah”

“Kami tidak tahu ke mana mahu pindah”

oleh Ammar Haziq

GURUN:”Kami tidak tahu hendak tinggal di mana selepas ini, anak-anak adik saya masih kecil, kami tiada tanah atau rumah lain untuk diduduki,” kata Abu Saad Aboo Hassan, 49.

Pekerja ladang ini berkata dia dan lebih 30 penduduk daripada tujuh buah keluarga di Kampung Batu Lapan, Belakang Kem Hobart, di sini perlu berpindah dari rumah yang didiami lebih 20 tahun lalu berikutan pemilik tanah terbabit mahu mengambilnya semula.

Katanya, rumah yang didiami itu dibina oleh arwah bapanya selepas menyangka tanah di belakang kem berkenaan milik rizab kerajaan.

“Saya tinggal di rumah ini sembilan orang termasuk bersama adik-adik serta anak saudara yang masih kecil, saya juga menjaga ibu tiri saya yang kurang sihat.

“Kami di dalam rumah ini ibarat kais pagi makan pagi, kais petang makan petang, pendapatan saya sebagai pengait buah kelapa sawit hanya kira-kira RM850 sebulan, itu pun bergantung kepada keadaan, sekiranya buah kurang, pendapatan saya tidak sampai RM800,” katanya ketika ditemui di kampung berkenaan.

Abu Saad berkata dia tidak dapat tidur lena selepas kehadiran pemilik tanah berkenaan dua minggu lalu kerana memikirkan nasib mereka sekeluarga.

Katanya, tuan tanah kini sudah melantik peguam namun belum memberi tarikh terakhir penduduk perlu berpindah dari situ.

“Saya buntu sekarang ini, tiada tempat kami hendak tuju, adik ipar saya yang tinggal bersama pun hanya penoreh getah secara (pawah) pendapatannya juga tidak menentu,” katanya.

Bagi Rohani Ahmad, 43, dia berpindah ke situ pada usia 11 tahun bersama keluarga.

Katanya, dia tidak mempunyai wang untuk berpindah atau menyewa di rumah lain kerana kesempitan hidup.

“Saya bekerja di kantin sebuah kilang di sini dengan upah sebanyak RM55 sehari, suami pula pendapatan tidak menentu sebagai seorang buruh, saya sangat berharap kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan dapat membantu kami.

“Sekurang-kurangnya kami dapat punggah rumah ini dan bina rumah di tanah lain yang disediakan kerajaan,” katanya.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) Kampung Jalan Jeniang, Azhar Ali berkata pihaknya sudah menghubungi tuan tanah berkenaan untuk memberi sedikit masa bagi penduduk di situ berpindah.

Katanya, penduduk di situ sebolehnya tidak mahu berpindah terlalu jauh berikutan bekerja di kawasan berdekatan serta anak-anak masih bersekolah.

“Tuan tanah sangat baik dan bertolak ansur, penduduk juga akur bahawa mereka perlu berpindah.

“Cuma saya kini dalam proses untuk berjumpa dengan pelbagai agensi untuk membantu mereka agar dapat berpindah secepat mungkin, namun sekarang mereka tidak berdaya kerana kesempitan wang, hendak cari rumah sewa di kawasan ini agak sukar, saya harap kerajaan dapat bantu mereka agar tidak merempat,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Daerah Kuala Muda, Datuk Abdul Gafar Yahya berkata pihaknya perlu meneliti beberapa perkara lagi sebelum mengulas mengenai kes itu.

“Selepas semuanya diteliti, pihak saya akan maklum dengan kadar segera,” katanya ketika dihubungi.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com