KUALA LUMPUR: Kerajaan MADANI pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kekal komited membanteras rasuah secara menyeluruh, termasuk dalam sektor pertahanan yang selama ini sering terdedah kepada penyelewengan.
Menurut Anwar, pembelian aset dan sistem pertahanan negara kini dilaksanakan menerusi kaedah perolehan terus antara kerajaan (G2G), tanpa penglibatan ejen atau sebarang bayaran komisen, bagi memastikan ketelusan sepenuhnya.
“Perkara ini belum pernah berlaku sebelum ini kerana pembelian senjata lazimnya merupakan antara sektor yang paling terdedah kepada amalan rasuah, tempat di mana wang rakyat sering diseleweng,” katanya dalam wawancara bersama saluran berita antarabangsa France 24 yang disiarkan secara dalam talian.
Beliau berkata, prinsip asas kerajaan kini ialah menjalankan urusan terus dengan kerajaan pembekal dan menolak pendekatan lama yang membuka ruang kepada pengambilan komisen dan penyalahgunaan dana awam.
Langkah tersebut, katanya, turut dibincangkan secara rasmi dengan kepimpinan Perancis dan Itali semasa lawatan kerjanya ke kedua-dua negara baru-baru ini.
Dalam wawancara sama, Anwar turut menegaskan bahawa usaha memerangi rasuah tidak mengenal kedudukan mahupun pangkat, termasuk dalam kalangan pemimpin politik serta beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Sabah.
“Bukan soal sama ada seseorang itu bekas Menteri Kewangan atau bekas Perdana Menteri. Itu tidak penting. Persoalannya, dari mana datangnya berbilion ringgit ini?
“Anak-anak mereka sendiri mengisytiharkan di bawah sumpah bahawa mereka memiliki lebih daripada RM1 bilion,” katanya.
Anwar menegaskan bahawa menjadi tanggungjawab beliau sebagai Perdana Menteri untuk memastikan budaya rasuah dihentikan dan sebarang wang yang dicuri daripada rakyat mesti dikembalikan.
“Kita mahu memperbaiki sekolah-sekolah dan membantu golongan miskin. Itu keutamaan kerajaan,” ujarnya.
Perdana Menteri kini berada di Rio de Janeiro, Brazil bagi menghadiri Sidang Kemuncak Pemimpin BRICS ke-17 selepas menyempurnakan lawatan kerja ke Rom, Itali dan Paris, Perancis sejak 1 Julai lalu.