Rakyat sedang menderita. Perkara yang paling menyayat hati adalah untuk mendengar kenyataan kerajaan bahawa mereka tidak mampu berbuat apa-apa mengenainya. Inilah yang cuba disampaikan oleh kerajaan pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini melalui langkah dan rencana yang cukup terdesak.
Sekatan baharu yang diumumkan adalah sangat mengelirukan, dan masing-masing kita akan menderita dengan cara yang tersendiri. Ada sebahagian kita dirundung dengan ketidaktentuan akibat dampak pandemik, namun tidak diberi perhatian secukupnya oleh kerajaan. Situasi pengangguran, masalah kemiskinan dan kelangsungan hidup cukup memprihatinkan, dan ini adalah antara beban yang akan terus menghantui setiap rakyat.
Ada pula yang terpaksa bertarung dengan persoalan jiwa dan mental. Kegelisahan, kesunyian dan ketakutan membuatkan kita terdedah pada kesan sikap xenofobik dan kemarahan yang menggila.
Kita merindukan untuk berada di samping teman-teman dan ahli keluarga masing-masing. Namun, ada segelintir kita yang terperangkap melebihi dari sekadar terperangkap dari sekatan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), samada penderaan di rumah, pengasingan akibat gejala pembulian siber atau masalah kemiskinan yang semakin memburuk.
Namun, kita tidak harus melupakan mereka yang telah pergi sepanjang tempoh wabak ini. 600 kematian bukan angka yang kecil dan boleh dipandang ringan. Kehidupan kita terganggu selama hampir setahun, dan semestinya ia memberi kesan. Ramai kita tidak pasti apakah kehidupan kita akan kembali seperti biasa, atau mungkin tidak. Apa akan berlaku sekiranya semua ancaman ini berakhir? Apakah kareer kita akan terkesan? Apakah anak-anak siswa kita mampu bangkit semula dan menyambung pelajaran mereka? Apakah akan ada sinar di hujung terowong? Kerajaan hari ini seolah tidak mampu memberi sebarang keyakinan, apatah lagi untuk menjanjikan masa depan yang lebih baik untuk semua.
Mesej kesatuan yang dilaung-laungkan melalui perkongsian penderitaan ini tidak akan mampu memulihkan bangsa, tambahan pula dengan kemelut sedahsyat ini. Kesatuan yang baru harus dipaculkan dan diwujudkan melalui kepimpinan yang kukuh, tatakelola yang baik serta berkesan, dan juga rakyat yang punya keyakinan baru terhadap kerajaan, terhadap ruang dan semangat demokrasi serta keyakinan antara satu dengan yang lain. Dalam saat kemelut hari ini, apa yang rakyat dambakan adalah sikap ketelusan dan kepastian, bukan apa yang disuap kerajaan minoriti ini.
Pengumuman demi pengumuman yang dibuat seolah tidak ada perancangan awal yang sering tidak jelas, langsung menginjak perasaan rakyat. Sebaliknya, dampak dari semua ini adalah panik dan ketidaktentuan. Muhyiddin telah meletakkan negara ini dalam lembah percanggahan. PKP menjadi acara tahunan yang sia-sia tanpa sebarang makna dan hasil. Apa yang kelihatan seolah bersyarat, namun nampaknya semacam akan kekal. Cakap-cakap tentang pemulihan ternyata omong kosong.
Jadinya, kita sekarang ini kembali ke peringkat asal. Mula balik. Ini mengingatkan saya kepada apa yang pernah diungkap Albert Einstein, “adalah sesuatu yang gila untuk mengulangi perkara yang sama sambil mengharapkan hasil yang berbeda”. Kerajaan pimpinan Muhyiddin hari ini telah meletakkan negara dalam lembah kegilaan.
Apa yang patut kerajaan buat adalah membantu rakyat untuk kembali percaya kepada kemampuan masing-masing, dan cipta kekuatan baru dalam mengharungi kemelut hari ini sebagai bangsa yang bersatu padu. Malaysia patutnya telah berjaya, apa yang disebut sebagai “flattening the curve” atau melandaikan lekuk dan menjadi antara negara yang berjaya menundukkan COVID-19. Sebaliknya, kerajaan ini terus menyusah dan membodohkan rakyat. Kerajaan hari ini anggap rakyat seperti kanak-kanak. Tidak, rakyat di negara inilah yang memungkinkan sebuah tatanan bernama Malaysia. Sekiranya kerajaan ini tidak mampu percaya pada rakyat dan yakin pada rakyat, bagaimana mungkin mereka harapkan perkara yang sama. Apatah lagi untuk patuh SOP yang sentiasa berubah setiap masa.
Rencana kerajaan mesti terperinci dan konsisten. Rencana yang mesti menggerakkan, yang punya tonggak dan matlamat. Bila kita sedar akan tanggungjawab masing-masing dalam mencipta masa depan yang lebih baik, maka kita akan jadi saling bertanggungjawab, dan secara tidak langsung kita akan dapaat menjamin kelangsungan cara hidup yang demokratik. Saat pemerintah hari ini tunggu perubahan untuk muncul, strategi kita mesti ampuh dan bijaksana agar dapat memungkinkan hari esok yang lebih baik. Pemerintah hari ini minta kita untuk berkorban, tapi belum nampak tanda-tanda yang kerajaan hari ini turut sama bergelut dan bersusah dengan rakyat.
Hari demi hari, kerajaan ini semakin hilang wibawa dan keyakinan semakin payah untuk dipulihkan di bawah kepimpinan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin. Langkah mengisytiharkan darurat tampak terdesak dan melulu, tanpa sebarang asas yang kukuh, langsung melebarkan jurang antara rakyat dan kerajaan. Muhyiddin minta kita percaya dia tatkala kediktatoran beliau semakin menonjol. Keyakinan terhadap kepimpinan beliau juga semakin merosot tatkala seorang demi seorang Ahli Parlimen menarik sokongan. Apakah kita masih boleh percaya dengan kerajaan hari ini? Pengisytiharan darurat semacam tidak ada kaitan dengan usaha dan upaya kita untuk melawan dampak wabak, tetapi sebaliknya hanya sebagai wahana untuk terus berpaut pada kuasa dan kedudukan? Rakyat tidak mudah lupa yang kerajaan hari ini adalah kerajaan pintu belakang. Bolehkah kita percaya seorang individu yang mengkhianati Perdana Menteri-nya pada ketika itu, mengkhianati partinya sendiri, mengkhianati kawan-kawan, dan yang paling dahsyat mengkhianati mandat rakyat? Individu begini yang kita diminta untuk percaya?
Kejelasan dan kepastian adalah langkah pertama dalam mengakui kecuaian. Rakyat kena tahu yang kerajaan mendengar suara mereka dan mengambil perhatian terhadap sebarang isu yang berbangkit. Kerajaan seharusnya tingkatkan kesedaran yang berasaskan sains, dan menggalakkan perbincangan umum serta menolak sebarang teori konspirasi yang menjurus kepada pembodohan. Bila komunikasi kita jelas, maka tindakan kita mesti seiring dengan usaha negara dalam melawan ancaman virus, dan seterusnya mengembalikan keyakinan kepada ekonomi kita. Ini bukan kerja mudah, dan tidak ada sesiapa yang boleh melakukannya sendiri. Namun, apa yang penting pengorbanan kita akan bertambah, tapi hanya dengan tatakelola yang baik serta keyakinan yang mengukuh sahaja kita akan dapat tempuhi badai ini bersama.
Telah saya umumkan baru-baru ini tentang usaha kami dalam merayu kepada KDYMM YDPA untuk mempertahankan Perlembagaan serta rakyat dari salahguna kuasa. Dan juga, pasukan peguam telah ditugaskan untuk menyiapkan permohonan untuk mencabar langkah Pengisytiharan Darurat yang dibuat oleh kerajaan Muhyiddin.
Saya menyeru kepada seluruh rakyat Malaysia agar jangan putus asa. Negara ini negara yang istimewa, punya pelbagai kaum dan agama, dan saya yakin ini adalah ciri yang terbaik yang kita ada. Teruskan tingkatkan disiplin diri dengan patuhi SOP, pakai pelitup muka dengn betul, jaga jarak masing-masing serta kerap basuh tangan. Jika tidak ada keperluan, jangan keluar rumah.
Jaga kesihatan masing-masing supaya dapat kita redakan sedikit sistem kesihatan kita dan beri sedikit ruang untuk wira-wira kita di barisan hadapan untuk bernafas. Sikap mulia begini adalah yang paling mudah untuk praktikkan, dan ia secara tidak langsung akan menguatkan komitmen kita dalam mencari jalan keluar dari kemelut ini.
Saya menggesa kita semua untuk tingkatkan peranan masing-masing dan kerajaan harus bekerja lebih untuk kembalikan keyakinan. Rakyat sedang menderita. Saya mendoakan kita jangan putus asa dan terus berusaha. Pengajaran dari tahun lalu itu sangat penting, dan jadikan ia sebagai dorongan untuk jadi lebih baik tidak hanya untuk diri sendiri namun untuk semua juga.
ANWAR IBRAHIM
17 Januari 2021