Wednesday, 15, May, 2024
Utama Nasional Kerajaan pertimbang salur subsidi secara pemberian tunai

Kerajaan pertimbang salur subsidi secara pemberian tunai

oleh Ammar Haziq

KUALA LUMPUR: Kerajaan sedang mempertimbang pemberian subsidi kepada rakyat menerusi pemberian atau pemindahan tunai.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, bagaimanapun pendekatan itu tidak boleh dilaksanakan untuk semua jenis subsidi.

“Itu sedang difikirkan dalam beberapa langkah yang lain, yang kompleks. Tetapi dalam kes ayam dan telur ini tidak perlu begitu kerana harganya sudah menurun dan kita ada plan kontigensi dari segi stok dan pasaran di Thailand dan China (harganya) murah.

“Langkah sekarang dianggap munasabah dan cadangan untuk pemindahan tunai ini sedang dipertimbangkan untuk beberapa urusan yang lain,” katanya pada sesi Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat di sini pada Selasa.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Mohd Shahar Abdullah (BN-Paya Besar) berhubung cadangan supaya subsidi diberikan terus kepada rakyat secara pemberian tunai bagi mengelak ketirisan.

Sementara itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan menegaskan pengapungan harga telur dan ayam yang diumumnya ketika pembentangan Belanjawan 2024 baru-baru ini, dilaksanakan tepat pada waktunya.

Ini kerana katanya, harga yang ditawarkan di Thailand jauh lebih rendah, selain Malaysia masih memiliki stok simpanan sebanyak 30 peratus.

“Kalau benar ada kekurangan, maka kita akan tambahkan daripada stok, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan ada 30 peratus stok ayam dan telur dan saya telah beritahu untuk membeli dari Thailand andai kata ada keperluan untuk elak harga naik,” ujarnya lagi.

Dalam masa sama, Perdana Menteri memberi amaran kepada peniaga supaya tidak mengambil kesempatan menaikkan harga telur dan ayam melalui keputusan kerajaan tersebut.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com