Monday, 29, April, 2024
Utama Negeri Maritim Kuala Kedah rampas 208 bubu naga

Maritim Kuala Kedah rampas 208 bubu naga

oleh Ammar Haziq

KUALA KEDAH – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kuala Kedah telah berjaya merampas 208 set bubu naga dalam lima siri rampasan yang dijalankan selama dua minggu di beberapa lokasi di perairan Yan hingga ke Kuala Kerpan.

Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah, Komander Maritim Noor Azreyanti binti Ishak berkata, operasi ini merupakan rondaan pemantauan rutin yang dilaksanakan oleh pihaknya di kawasan berkenaan.

Semasa rondaan dilakukan, anggota bot ronda Maritim Malaysia menemui pelbagai taktik yang digunakan bagi mengaburi mata pihak berkuasa iaitu dengan mengubah lokasi semasa pemasangan bubu dan meletakkan pelampung penanda seperti botol, pancang kayu dan beberapa alatan GPS pada setiap bubu naga yang berukuran kira-kira 10 meter panjang itu.

Kesemua bubu naga yang dirampas dianggarkan bernilai hampir RM25 ribu telah dibawa ke Jeti Zon Maritim Kuala Kedah untuk siasatan di bawah Seksyen 11(3)(c) Akta Perikanan 1985.

Daripada rampasan berkenaan telah menjadikan jumlah terkumpul bubu naga yang berjaya dirampas Zon Maritim Kuala Kedah dari Januari tahun ini hingga awal November adalah sebanyak 1,264 unit dengan nilai lebih RM150 ribu.

Maritim Malaysia tidak akan berkompromi terhadap sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang dan sentiasa komited dalam meneruskan pengoperasian serta rondaan di sepanjang Zon Maritim Malaysia bagi mengekang aktiviti haram di perairan negara.

Pihak Zon Maritim Kuala Kedah mengalu-alukan orang ramai bagi melaporkan sebarang aktiviti jenayah atau kecemasan di laut melalui saluran talian kecemasan 24 jam MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Malaysia Zon Maritim Kuala Kedah di talian 04-7310579.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com