Friday, 22, November, 2024
Utama Nasional Darurat : Keputusan pendek akal, pentingkan diri sendiri

Darurat : Keputusan pendek akal, pentingkan diri sendiri

oleh Ammar Haziq

KENYATAAN MEDIA23 Oktober 2020

Saya mengikuti rapat laporan-laporan yang mengandaikan bahawa kerajaan sedang mempertimbang untuk melaksanakan langkah darurat bagi menyekat proses Parlimen.

Hari ini kita sedang menyaksikan babak sejarah yang tidak pernah berlaku sebelumnya yakni mempunyai sebuah kerajaan yang bergelut dengan persoalan keabsahan, dan sedang menggunakan wabak Covid-19 yang memungkin penyalahgunaan kuasa.

Pengisytiharan darurat hanya dilakukan bilamana terdapat unsur ancaman pada keselamatan negara. Tetapi apabila kerajaan itu sendiri yang menjadi punca pada ancaman keselamatan, maka langkah darurat ternyata suatu langkah kebelakang yang akan memungkin kediktatoran.

Saya menggesa Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk menimbang semula keputusan ini kerana ia ternyata suatu keputusan yang pendek akal dan penting diri.Dengan langkah ini, maka kerajaan Perikatan Nasional yang tidak ada keabsahan ini telah menonjolkan kelemahan mereka dalam menangani wabak Covid-19 dan kemelut ekonomi yang kita hadapi sekarang.

Negara-negara di rantau ini sedang memikirkan pelbagai cara bagi menangani wabak dan benarkan aktiviti ekonomi untuk bergerak, namun Malaysia sedang bergerak kebelakang.

Kita masih belum mengetahui apa strategi kerajaan dalam mengemudi krisis ini, tetapi apa yang terpamer adalah pemerintah merasakan strategi ampuh untuk melawan dampak wabak adalah dengan melemahkan demokrasi.

Apa yang kita perlukan dalam mendepani wabak Covid-19 adalah ketelusan, kebertanggungjawaban dan dasar yang jelas oleh pelbagai kementerian. Pemerintah telah gagal menonjolkan kepimpinan yang berkualiti saat wabak, malah telah mengambil langkah yang mencurangi demokrasi untuk terus berkuasa.

ANWAR IBRAHIM

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com