Thursday, 9, May, 2024
Utama Nasional Anwar terima kunjungan hormat Menteri Luar Turki

Anwar terima kunjungan hormat Menteri Luar Turki

oleh Ammar Haziq

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menerima kunjungan hormat daripada Menteri Luar Turki Hakan Fidan, yang mengadakan lawatan rasmi dua hari ke Malaysia bermula semalam.

Dalam pertemuan yang diadakan di Pulau Pinang itu, Anwar dan Fidan membincangkan soal kerjasama dua hala yang telah lama terjalin antara kedua-dua negara.

“Kami juga dapat bertukar pandangan berkaitan pelbagai isu serantau dan antarabangsa yang menjadi kepentingan bersama termasuk melibatkan umat Islam.

“Semoga hubungan Malaysia dan Turki akan terus berkembang sekali gus dapat memberi manfaat kepada rakyat,” kata Anwar menerusi hantaran di Facebook.

Turut hadir pada pertemuan itu Menteri Luar Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.

Ini merupakan lawatan pertama beliau ke Malaysia, sejak dilantik sebagai Menteri Luar negara itu pada 3 Jun lepas.

Turki merupakan rakan dagangan ketiga terbesar Malaysia, destinasi eksport terbesar dan destinasi import keenam terbesar dari rantau Asia Barat.

Pada 2022, jumlah dagangan Malaysia dengan Turki meningkat 12.6 peratus kepada RM20.25 bilion (US$4.62 bilion) daripada RM17 bilion (US$4.10 bilion) pada 2021.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com