ALOR SETAR – Sebuah kilang memproses produk kecantikan di Pokok Sena telah diambil tindakan dan dikenakan kompaun sebanyak RM60,000 kerana menggunakan logo halal pada produk yang dikeluarkan tanpa mendapat kebenaran daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah (JHEAIK).
Pengarah Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN)Negeri Kedah, Muhammad Nizam Jamaludin berkata, serbuan yang dijalankan pada 19 Jun lalu adalah hasil operasi bersepadu pihaknyabersama Bahagian Pengurusan Halal, JHEAIK melibatkan nilai rampasan keseluruhan sebanyak RM1,336,499.60.
Menurutnya, siasatan lanjut telah dijalankan dan Timbalan Pendakwa Raya dan bersetuju wujud pelanggaran di bawah Perenggan 4(1)(a) Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011.
“Semua makanan dan barang-barang tidak boleh diperihalkan sebagai halal atau diperihalkan dengan cara lain untuk menunjukkan makanan atau barang-barang itu boleh dimakan atau digunakan oleh orang Islam melainkan jika diperakukan sebagai halal oleh pihak berkuasa berwibawa.
“Pelanggaran perenggan ini membawa kepada suatu kesalahan di bawah Perenggan 8(a) Perintah yang sama. Pihak syarikat telah dikenakan kompaun sebanyak RM60,000,” katanya.
Tambah beliau, KPDN ingin memberikan amaran keras kepada semua pihak agar tidak sewenang-wenangnya menggunakan logo halal tanpa kebenaran daripada pihak berwibawa dan sentiasa mematuhi perundangan yang telah dikuatkuasakan dan menegaskan bahawa Kementerian tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat.
Menurutnya lagi, sebarang aduan sebarang kegiatan yang mencurigakan boleh disalurkan oleh pengguna kepada Pejabat KPDN.