BESUT, 8 OKTOBER – Laporan polis kedua dibuat ke atas seorang Individu oleh Pengarah Urusan Azlan Al Amin Group Holdings Sdn Bhd kerana didakwa mengugut pengurus syarikat tersebut.
Lelaki tersebut juga bakal berdepan saman sebanyak RM15 juta daripada pengarah syarikat itu, Mohamad Azlan Al Amin kerana turut didakwa memfitnah dan laporan polis pertama juga dibuat terhadapnya pada Khamis lalu.
Jutawan hartanah itu kecewa dengan tindakan individu tersebut kerana didakwa turut menghasut pembeli tanah yang berurusan dengannya sebelum ini.
“Dia tidak mempunyai sebarang urusan dengan saya namun agresif membuat pelbagai tohmahan, fitnah malah sehingga ke tahap mengugut bukan saya tetapi pegawai kanan saya.
“Saya telah dinasihatkan untuk segera membuat laporan polis kedua terhadapnya,” katanya yang tampil membuat laporan di Balai Polis Jertih, Besut bersama pengurusan dan dua peguamnya hari ini.
Mengulas lanjut, Muhammad Azlan berkata, pengurusnya saya juga hadir dan membuat laporan polis terhadap kejadian yang berlaku.
“Kami mengharapkan pihak polis akan segera mengambil tindakan susulan kerana perbuatan seperti ini bukan sahaja tidak berfaedah malah turut membuang masa dan duit.
“Pasukan peguam saya juga telah diarahkan untuk ambil tindakan selanjutnya dengan segera, kita ada semua bukti terhadap perbuatan individu ini yang juga cuba menghasut para pembeli tanah saya,” ujar beliau.
Dalam pada itu seramai 200 penduduk setempat yang juga pembeli tanah di sekitar Jertih tampil memberikan sokongan kepada beliau.