Friday, 19, April, 2024
Utama Negeri Lelaki disyaki hilang ketika candat sotong diselamatkan nelayan

Lelaki disyaki hilang ketika candat sotong diselamatkan nelayan

oleh Ammar Haziq
Bot mangsa telah selamat ditunda oleh bot nelayan tempatan yang berada di perairan sempadan Malaysia – Thailand.

LANGKAWI – Seorang lelaki yang disyaki hilang ketika mencandat sotong petang semalam dilaporkan selamat.

Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia Negeri Kedah dan Perlis melalui Maritime Rescue Sub-Center (MRSC) Langkawi telah menerima aduan daripada seorang nelayan, Razali bin Hashim mengenai kehilangan rakannya yang keluar ke laut untuk mencandat sotong bersamanya petang kelmarin tidak pulang ke rumah.

Pengarah Maritim Negeri Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Romli bin Mustafa berkata, MRSC Langkawi telah mengaktifkan Operasi CARILAMAT pada jam 3.45 petang semalam sejurus menerima panggilan pada jam 1 tengah hari.

Maritim Negeri Kedah dan Perlis telah mengatur gerak bot PENYELAMAT 5 ke perairan Pulau Beras Basah, Langkawi yang menjadi lokasi terakhir mangsa dilaporkan berada oleh pegadu.

Identiti mangsa ialah Harun bin Mustafa, 46, mengendalikan bot gentian kaca bernombor pendaftaran KHS 5948 berwarna merah dan biru memakai baju kuning ketika hilang.

Operasi CARILAMAT yang ditangguhkan pada jam 7.30 petang semalam.

Namun, pada jam 10.30 malam MRSC Langkawi menerima panggilan daripada pengadu mengatakan bahawa mangsa telah selamat ditunda oleh bot nelayan tempatan yang berada di perairan sempadan Malaysia – Thailand.

Maritim Malaysia mengingatkan kepada komuniti nelayan yang ingin turun ke laut agar memastikan bot dalam keadaan baik, memakai jaket keselamatan, merujuk ramalan kaji cuaca terlebih dahulu dan membawa Personal Life Beacon (PLB).

Sebarang maklumat serta aduan mengenai perkara ini, orang ramai diminta melaporkan ke Pusat Operasi Maritim Kedah dan Perlis di talian 04-9662750 atau MERS 999 untuk maklum balas segera.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com