Sunday, 19, May, 2024
Utama Nasional Anwar perjelas isu ‘turun harga minyak’

Anwar perjelas isu ‘turun harga minyak’

oleh Ammar Haziq

KUALA LUMPUR:Janji harga minyak turun yang dikatakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini adalah persetujuan bersama parti-parti politik dalam Pakatan Rakyat (PR) ketika itu.

Katanya, tindakan pembangkang menggunakan isu terbabit terhadapnya adalah tidak tepat dan seharusnya melihat semula harga minyak ketika ini.

“Ada pertikai soal minyak, hari ini kita menang esok minyak turun.

“Bila saya sebutkan perkara itu semasa PKR, DAP dan Pas bersama, apa saya sebutkan itu dipersetujui oleh PKR, DAP dan Pas.

“Masa itu berapa harga minyak Arab Saudi? 50 sen per liter. Sekarang saya jadi PM, berapa harga petrol tahun 2018? Di Malaysia RM2.21, Arab Saudi dah naik RM2.19.

“Sekarang tahun 2023, minyak di Arab Saudi RM2.84, berapa harga minyak di Malaysia? RM2.05.

“Jadi kita ambil kira ini bahawa kenaikan penurunan minyak, maknanya harga minyak kita masih rendah.

“Brunei sekarang RM1.84, oleh itu untuk terus menggunakan komen dan hujah yang kita buat bersama dalam PR tidak semuanya tepat,” kata Anwar ketika sesi perbahasan usul Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-12 (KSP RMK12) di Dewan Rakyat hari ini.

Dewan bagaimanapun bertukar kecoh apabila berlaku pertikaman lidah di antara Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang.

Ahli Parlimen Jengka, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man bangun mencelah dan menafikan dengan kenyataan Perdana Menteri itu.

“Terima kasih, saya bersama masa itu, Pas tidak pernah bersetuju masa itu,” kata Tuan Ibrahim.
Tindakan itu disusuli Ahli Parlimen Kota Raja, Datuk Seri Mohammad Sabu.

“Masa itu saya setuju, masa itu dia (Tuan Ibrahim) bukan lagi pimpinan,” ujarnya.

Keadaan kecoh bagaiamanapun ditenteramkan apabila Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul mengarahkan setiap Ahli Parlimen untuk memberi laluan kepada Perdana Menteri menggulung.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com