Tuesday, 21, May, 2024
Utama Negeri Tutup pasar malam waktu maghrib di Kedah tidak melibatkan peniaga bukan Islam

Tutup pasar malam waktu maghrib di Kedah tidak melibatkan peniaga bukan Islam

oleh Ammar Haziq

SUNGAI PETANI – Kerajaan Kedah berkata penutupan operasi pasar malam pada waktu Maghrib di semua kawasan pentadbiran pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri tidak meliputi peniaga bukan Islam.

Menurut Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kesihatan, Mejar (B) Mansor Zakaria, arahan penutupan sementara itu hanya diberikan kepada peniaga Islam sahaja namun peniaga bukan Islam digalakkan berbuat demikian jika mahu.

“Peniaga bukan Islam khususnya di pasar malam yang dianjurkan di kawasan majoriti atau rumah ibadat bukan Islam, tidak tertakluk kepada peraturan tersebut.

“Penjelasan dibuat agar keputusan ini tidak dijadikan isu memandangkan baru-baru ini wujud pertikaian yang dilaporkan sebuah portal yang mengaitkan arahan itu dengan masyarakat bukan Islam,” katanya pada sidang akhbar di Auditorium Majlis Perbandaran Sungai Petani Kedah (MPSPK) pada Isnin.

Jelasnya,semua pengunjung pasar malam dapat memahami perkara tersebut bagi memberi keutamaan kepada peniaga, pekerja dan pengunjung menunaikan solat Maghrib kerana tempohnya yang singkat.

“Selain boleh menunaikan solat dalam keadaan selesa dan tidak tergesa-gesa, ia juga dapat mendidik peniaga Islam menunaikan solat di awal waktu, malah peniaga berpeluang untuk menunaikan solat secara berjemaah di surau atau masjid yang berdekatan,” ujar beliau lagi.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com