Saturday, 11, May, 2024
Utama Negeri Bot nelayan asing Thailand ceroboh Langkawi diusir keluar

Bot nelayan asing Thailand ceroboh Langkawi diusir keluar

oleh Ammar Haziq

FOTO/TEKS: APMM KEDAH/PERLIS

Langkawi, 19 November – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Kedah dan Perlis mengusir bot nelayan asing Thailand yang dikesan menceroboh perairan negara di kedudukan 2.7 batu nautika utara Pulau Langgun Langkawi semalam.

Pengarah Maritim Negeri Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Mohd Zawawi bin Abdullah berkata, sejurus aduan diterima menerusi talian MERS 999 oleh Pusat Operasi Maritim Negeri Kedah dan Perlis, bot Petir yang sedang melaksanakan Op Benteng diatur gerak ke lokasi pencerobohan.

“Sebaik menyedari kehadiran Bot Peronda Maritim Malaysia, dua daripada tiga bot nelayan tradisional Thailand tersebut segera meninggalkan perairan negara, manakala sebuah bot berjaya dipintas,” jelasnya.

“Bot yang ditahan dikendalikan tiga nelayan warga Thailand dengan beberapa peralatan menangkap ikan jenis pukat karang serta hasil laut udang Kara dengan anggaran berat 2 kilogram. Bot nelayan asing tersebut bersama kru kemudian telah diarah dan diusir keluar dari perairan negara sejajar dengan situasi semasa bagi mengekang penularan COVID-19,” ulasnya lagi.

“Maklumat pencerobohan kali ini diterima daripada laporan awam yang disalurkan kepada MERS 999. Agensi ini sentiasa komited dan siapsiaga bagi memastikan keselamatan sempadan perairan negara sentiasa terpelihara daripada anasir luar khususnya kemasukan pendatang asing tanpa izin,” tambahnya lagi.

Maritim Malaysia merakamkan penghargaan kepada komuniti maritim yang peka dan menyalurkan maklumat kepada agensi penguatkuasa.

Seluruh komuniti maritim diharapkan dapat berganding bahu bersama agensi penguatkuasa dalam menyalurkan sebarang maklumat berkaitan penyeludupan dan aktiviti jenayah di laut menerusi talian MERS 999 atau menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Kedah dan Perlis (Langkawi) di talian 04-9662750 / 04-966 5307.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com