Thursday, 21, November, 2024
Utama Viral Shaharon Anuar kini Pengarah Komunikasi Korporat syarikat hartanah

Shaharon Anuar kini Pengarah Komunikasi Korporat syarikat hartanah

oleh Ammar Haziq
Azlan (kanan) berharap kehadiran Shaharon Anuar mampu membantu Haji Land Berhad untuk berada di peringkat lebih tinggi.

Bekas Ketua Jabatan Pengurusan Kontinjen Polis Kuala Lumpur yang juga pelakon drama bersiri Gerak Khas, Datuk Shaharon Anuar Abdul Latif diumumkan sebagai Pengarah Komunikasi Korporat syarikat hartanah, Haji Land Berhad.

Peneraju Haji Land Berhad, Datuk Mohamad Azlan Al Amin berkata, beliau melahirkan rasa teruja dan gembira dengan kehadiran seorang figura yang bukan sahaja terkenal sebaliknya mampu membawa hala tuju Haji Land kearah yang lebih baik.

“Haji Land Berhad amat berharap dengan pelantikan Shaharon sebagai Pengarah Komunikasi serta Penasihat Pelaburan ini akan dapat menyumbang dan mengembangkan kepada kemajuan syarikat khasnya dalam dunia hartanah sebaliknya kebaikan kepada semua,” katanya seperti dipetik melalui MalaysiaGazette.

Menurutnya, Shaharon juga bakal bertindak sebagai penasihat pelaburan kepada Haji Land Berhad.

Sementara itu, Shaharon yang berkhidmat dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) hampir 38 tahun berkata, beliau menerima tawaran daripada Haji Land Berhad yang bertepatan dengan persaraannya pada usia awal 60-an.

Jelasnya, dirinya tertarik dengan perjalanan hidup jutawan hartanah itu yang satu ketika pernah bekerja sebagai pemungut sampah dan kini berpeluang untuk bekerja bersama di bawah satu bumbung.

“Bidang tugasan di Haji Land Berhad pula tidak asing bagi saya apatah lagi saya berpengalaman lebih kurang 13 tahun di Cawangan Perhubungan Awam PDRM Bukit Aman dahulu sangat berguna membantu saya melaksanakan tugasan ini.

 “Cuma saya perlu memahami selok belok perniagaan hartanah dalam melaksanakan tugasan sebagai Penasihat Pelaburan, harapnya dengan jawatan ini saya mampu melakukannya kelak,” katanya.

Ujarnya lagi, perniagaan hartanah Haji Land Berhad juga didapati menjalankan secara patuh syariah.

“Saya juga berharap Haji Land Berhad akan terus maju bukan sahaja beri manfaat kepada pelabur dan pembeli sebaliknya akan sentiasa memperjuangkan golongan tidak berkemampuan dalam program-program CSR mereka,” tambah Shaharon.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com