Monday, 6, May, 2024
Utama Politik Kes Zahid: ‘Tidak adil MUDA ancam tarik sokongan terhadap Kerajaan Perpaduan’ – Anwar

Kes Zahid: ‘Tidak adil MUDA ancam tarik sokongan terhadap Kerajaan Perpaduan’ – Anwar

oleh Ammar Haziq

SRI PETALING: Tidak adil untuk Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) mengancam mahu menarik sokongan terhadap Kerajaan Perpaduan susulan keputusan mahkamah melepas tanpa membebaskan (DNAA) Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi daripada 47 pertuduhan rasuah.

Demikian kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menjelaskan, kuasa untuk membuat keputusan terbabit bukan berada di tangan beliau.

Menurut Anwar, sepanjang memimpin kerajaan sekarang selama sembilan bulan, beliau tidak pernah mencampuri urusan pihak berkuasa serta badan perundangan dan kehakiman yang menjadi tonggak negara ini.

“Kalau kamu tarik balik pendakwaan kepada Zahid, kami tak sokong kamu. Jadi maknanya saya mesti dakwa dan hukum?

“Saya nak jawab, yang siasat itu kerja SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) dan polis. Yang dakwa itu Peguam Negara. Yang putuskan itu hakim (saya tiada kaitan).

“Mengapa saya kata faham sedikit sebanyak keresahan (rakyat)? Sebab kita mewarisi sistem sedemikian… bahawa orang politik rakus, zalim menggunakan kuasa untuk mendera orang.

“Saya lalui proses itu. Sekarang saya perdana menteri. Saya tak sanggup guna kuasa sebegitu rupa. Siapa jadi perdana menteri dia akan tangkap musuh, dia akan dera. Saya tak nafikan ini perjalanan yang sama. Dalam jemaah menteri, kita tak pernah pergi ke perkara ini.

“Ketua (Pesuruhjaya) SPRM, Ketua Hakim, Peguam Negara… tanya mereka. Sembilan bulan saya jadi perdana menteri tak pernah campur.

“Tak percaya? Itu soal lainlah kerana itu pengalaman kamu. Keadaan berubah dan orang lain yang jaga,” katanya selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Jamek Sri Petaling, hari ini.

Selasa lalu, Presiden MUDA, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, mengeluarkan kenyataan mengancam akan menarik sokongan seterusnya keluar daripada Kerajaan Perpaduan.

Ancaman itu sekiranya Jabatan Peguam Negara tidak menjelaskan secara terperinci berhubung keputusan mahkamah terhadap kes rasuah membabitkan Ahmad Zahid yang juga timbalan perdana menteri.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com