Saturday, 27, July, 2024
Utama Negeri 30 kereta mainan kanak-kanak musnah terbakar

30 kereta mainan kanak-kanak musnah terbakar

oleh Ammar Haziq

ALOR SETAR – Hampir 30 buah kereta mini mainan kanak-kanak berhampiran sebuah hotel di Kampung Baru, di sini musnah terbakar dalam kejadian yang berlaku pada awal pagi Rabu.

Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Alor Setar, Timbalan Penguasa Bomba II Ahmad Naufal Abdullah, Pusat Gerakan Operasi (PGO) Kedah menerima panggilan kecemasan  pada jam 3.50 pagi.

“Sepasukan anggota dari BBP Alor Setar diketuai Pegawai Bomba Kanan (PBK) II Zulkifli Md Esa bersama 12 anggota bersama sebuah jentera, sebuah EMRS dan dua buah motosikal RIM diarahkan ke lokasi kejadian

“Setibanya di lokasi, didapati kebakaran itu membabitkan 30 buah kereta mainan di kawasan itu,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Ahmad Naufal berkata, tiada mangsa dilaporkan berada di lokasi kejadian ketika itu.

Menurutnya, setakat ini punca dan kerugian masih dalam siasatan pihak Bomba.

“Api berjaya dikawal pada jam 3.54 pagi dan berjaya dipadam sepenuhnya jam 4.45 pagi.

“Punca dan nilai kerugian masih dalam siasatan,” ujar beliau lagi.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com