Wednesday, 1, May, 2024
Utama Negeri Pelajar tingkatan tiga lemas ketika mandi di sungai tebatan banjir

Pelajar tingkatan tiga lemas ketika mandi di sungai tebatan banjir

oleh admin

GUAR CEMPEDAK : Keseronokkan empat sahabat bermandi bertukar tragedi apabila salah seorang daripada rakan mereka lemas di sungai tebatan banjir di Kampung Batu 20, Guar Chempedak, di sini pada Jumaat.

Mayat mangsa Muhammad Danish Haidar Mohd Rizal, 15, merupakan pelajar tingkatan tiga Sekolah Menengah (SM) Guar Chempedak ditemui oleh anggota bomba jam 5.45 petang.

Ketua Polis Daerah Yan, Deputi Superintendan Shahnaz Akhtar Haji berkata, polis menerima laporan berhubung kejadian seorang remaja lelaki berusia 15 tahun asal dari Kampung Jalan Baru, lemas.

“Siasatan polis mendapati mangsa bersama tiga lagi rakannya ke kawasan itu pada jam 3.30 petang.

“Ketika keempat-empat remaja itu sedang leka mandi mangsa tiba-tiba lemas. Rakan mangsa cuba membantu menyelamatkan mangsa namun gagal kerana mangsa dibawa arus ke tempat yang dalam,” katanya ketika dihubungi.

Shahnaz berkata, salah seorang daripada rakan mangsa pulang ke rumah dan memaklumkan kejadian itu kepada bapanya.

Berikutan itu, bapa rakan mangsa itu terus menghubungi pihak polis melalui talian 999 sebelum keluarga mangsa dimaklumkan berhubung kejadian itu.

Beliau berkata, sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Guar Chempedak tiba dan memulakan operasi mencari dan menyelamat (SAR).

“Pencarian mangsa dimulakan pada jam 5.40 petang dan berjaya menemui mangsa tidak jauh dari lokasi mangsa dilaporkan lemas.

“Mangsa disahkan meninggal dunia selepas pengesahan oleh pegawai perubatan Hospital Yan (HY),” ujarnya lagi.

Shahnaz berkata, mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Yan untuk bedah siasat.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com