Tuesday, 14, May, 2024
Utama Nasional 5,000 sesi Jualan Agro Madani akan dianjurkan kerajaan

5,000 sesi Jualan Agro Madani akan dianjurkan kerajaan

oleh Ammar Haziq

Melaka: Kerajaan akan menganjurkan 5,000 sesi Jualan Agro Madani dengan nilai sasaran jualan sebanyak RM39 juta pada tahun ini, kata Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu.

Beliau berkata, setakat 27 Ogos lalu, sebanyak 1,559 program jualan dilaksanakan di kementerian dan agensi kerajaan di seluruh negara membabitkan jualan sebanyak RM32.7 juta dan penjimatan sebanyak RM9.81 juta.

“Sebanyak 25,073 usahawan menyertai program jualan ini membabitkan 779,000 pengunjung,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Beliau berkata, menerusi Jualan Agro Madani itu, komoditi jualan diperluas meliputi produk segar dan barang kawalan dengan penjimatan 10 hingga 30 peratus lebih rendah berbanding harga pasaran setempat bagi komoditi terpilih.

Katanya, Jualan Agro Madani akan terus diperkasa sebagai satu daripada usaha berterusan kerajaan untuk membantu meringankan beban rakyat di samping meningkatkan pendapatan usahawan tani.

Program Jualan Agro Madani merupakan satu daripada inisiatif kerajaan bagi membantu rakyat di seluruh negara terutamanya di kawasan berkepadatan penduduk.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com