Wednesday, 15, May, 2024
Utama Nasional Anwar mungkin beri penjelasan DNAA Zahid di Dewan Rakyat

Anwar mungkin beri penjelasan DNAA Zahid di Dewan Rakyat

oleh Ammar Haziq

PUTRAJAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim berkemungkinan akan memberikan penjelasan di Dewan Rakyat berhubung keputusan mahkamah melepas tanpa membebaskan (DNAA) Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, baru-baru ini.

Ia susulan gesaan Ahli Parlimen Pasir Gudang daripada Pakatan Harapan (PH), Hassan Abdul Karim yang mencadangkan Anwar memberi penjelasan di Dewan Rakyat mengenai perkara berkenaan pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT).

“Mungkin, insya-Allah,” kata Perdana Menteri secara ringkas ketika ditanya berhubung gesaan tersebut, di sini hari ini.

Hassan ketika sesi perbahasan Kajian Separuh Penggal (KSP) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) di Dewan Rakyat pada Khamis menegaskan, langkah itu penting bagi membolehkan Ahli Parlimen sama ada di pihak kerajaan atau pembangkang mendapat penjelasan sebenar.

Sebelum ini, Perdana Menteri menegaskan, beliau tidak pernah campur tangan dalam kes mahkamah melibatkan Ahmad Zahid.

Malah Anwar juga berkata beliau tidak memberi arahan kepada bekas Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun, berkaitan permohonan menghentikan prosiding yang mendorong kepada keputusan mahkamah melepas tanpa membebaskan terhadap Ahmad Zahid daripada 47 pertuduhan.

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Collin Lawrence Sequerah pada 4 September lepas telah melepas tanpa membebaskan Ahmad Zahid, 70, yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) daripada kesemua 47 pertuduhan membabitkan dana Yayasan Akalbudi.

Media melaporkan keputusan itu dibuat selepas Collin membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Mohd Dusuki Mokhtar, yang memaklumkan bahawa Jabatan Peguam Negara ingin memberhentikan semua prosiding terhadap Ahmad Zahid pada peringkat ini.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com