Thursday, 2, May, 2024
Utama Nasional MA63 Sabah dan Sarawak perlu dilaksanakan – Anwar Ibrahim

MA63 Sabah dan Sarawak perlu dilaksanakan – Anwar Ibrahim

oleh admin

KUCHING – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim beri jaminan akan melaksanakan segala perjanjian yang telah dimenterai dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“Tanggungjawab saya adalah melaksanakan janji dan perjanjian yang telah menterai oleh pemimpin dan pejuang negara semasa pembentukan Malaysia untuk diselesaikan.

“Beberapa perkara lain yang termaktub saya telah beri jaminan bukan untuk dirunding, tetapi untuk dilaksanakan,” kata Anwar Ibrahim.
Beliau berkata demikian dalam ucapannya di Majlis Sambutan Hari Malaysia Peringkat Kebangsaan di Stadium Perpaduan, Petrajaya Kuching malam tadi.

Sementara itu, Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari menegaskan hanya sebuah Kerajaan Persekutuan yang kukuh dalam suasana kestabilan politik yang kekal sahaja yang mampu memikirkan secara fokus keperluan-keperluan di seluruh negara, khususnya keperluan di Sarawak dan Sabah.

“Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) akan terus memberi sokongan kepada Kerajaan Perpaduan supaya terus wujud kestabilan yang lebih kekal agar Kerajaan Persekutuan boleh mentadbir dengan lebih fokus demi Malaysia yang mampan, lestari dan madani.

“Walaupun, Sarawak dan Sabah menuntut berberapa perkara khususnya di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), ia tidak bererti Sarawak, Sabah dan Semenanjung Malaysia tidak boleh bekerjasama dan memperkukuhkan perpaduan demi Malaysia yang tercinta. Penubuhan Kerajaan Perpaduan adalah bukti perbezaan tidak menjadi penghalang ke arah perpaduan,” kata Abang Johari.

Justeru itu, perhubungan antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri hendaklah berdasarkan undang-undang tertinggi negara.

“Perlembagaan telah menentukan perkara-perkara yang di bawah bidang kuasa Persekutuan (Federal List), bidang kuasa negeri (State List) dan bidang kuasa bersama (Concurrent List).

“Ini adalah kehendak keseluruhan rakyat Sarawak supaya hak dan keistemewaan Sarawak dalam Perlembagaan dan MA63 terus dihormati dan dilaksanakan seperti yang dipersetujui oleh para pemimpin kemerdekaan pada tahun 1963,” tegasnya.

Selepas merasmikan majlis sambutan tersebut, Anwar Ibrahim seterusnya menandatangani satu buku khas sempena majlis sambutan Hari Malaysia dengan bertemakan ‘Malaysia Madani: Tekad Perpaduan Penuhi Harapan’, ketiga-tiga wilayah iaitu Semenanjung, Sabah dan Sarawak bergerak Segulai Sejalai di Stadium Perpaduan sempena sambutan Hari Malaysia 2023 dengan hadiran lebih 3,000 pengunjung memeriahkan majlis malam tadi.

‘Segulai Sejalai’ merupakan cogan kata dalam bahasa Iban yang bermaksud ‘Berjalan Seiringan’ itu bertepatan dengan matlamat Kerajaan Perpaduan untuk mengukuhkan keharmonian rakyat pelbagai kaum dan agama di negara ini.

Tahun ini merupakan penganjuran kali kedua di lokasi yang sama, selepas pada tahun 2019 dan merupakan kali ketujuh penganjuran Hari Malaysia diadakan di Sarawak sejak sambutannya mula diadakan pada tahun 2010.

Sejak tahun 2010, Sambutan Hari Malaysia kebiasaannya disambut di Sabah dan Sarawak.

Namun begitu, Jemaah Menteri dalam mesyuarat pada 24 Jun 2020 telah bersetuju Sambutan Hari Malaysia pada 16 September boleh diadakan secara bergilir-gilir di antara Sabah, Sarawak dan Semenanjung Malaysia.

Antara pengisian program lain pada majlis sambutan itu ialah Persembahan Tarian Tiga Wilayah Semenanjung Malaysia; Sarawak dan Sabah.

Juga diwarnai pada sambutan malam itu Persembahan Khas “Musical Segulai Sejalai” dan Persembahan Tekad Perpaduan Penuhi Harapan oleh Penyanyi Tempatan, Aina Abdul dan Bob Yusof.

Turut hadir di majlis sambutan ialah Pemangku Yang Dipertua Negeri Sarawak,  Tan Sri Mohamad Asfia Awang Nassar serta isteri, Datuk Fatimah Mohamad Iskandar; Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg serta isteri, Puan Sri Datuk Juma’ani Tun Tuanku Bujang; Ketua Menteri Sabah Datuk Hajiji Noor serta isteri, Datin Seri Julia Salag.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com