Monday, 20, May, 2024
Utama Nasional Bina pusat pemindahan kekal di 9 negeri

Bina pusat pemindahan kekal di 9 negeri

oleh Ammar Haziq

Kuala Lumpur: Kerajaan akan membina Pusat Pemindahan Kekal (PPK) di sembilan negeri untuk kemudahan dan keselesaan mangsa yang ditimpa bencana termasuk banjir.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pemilihan lokasi adalah berdasarkan persetujuan oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN).

“PPK yang akan dibina sebagai perintis adalah melibatkan sembilan negeri yang sudah dikenal pasti,” katanya dalam jawapan bertulis menjawab soalan Datuk Seri Shahidan Kasim (PN-Arau) di Dewan Rakyat.

Katanya, PPK yang dicadangkan juga pada masa ini dibuat di dalam kawasan sekolah yang ditimpa bencana.

“Ini adalah kerana bagi mengoptimumkan penggunaan PPK ini di masa aman di mana boleh diguna pakai oleh pihak sekolah untuk aktiviti anak anak murid serta lain-lain aktiviti yang bersesuaian,” katanya.

Lokasi PPK dicadangkan itu termasuk di Sekolah Kebangsaan (SK) Gual Tinggi, Pasir Mas, Kelantan; SK Seri Medan, Batu Pahat, Johor; SK Benta, Kuala Lipis, Pahang; SK Banggol Peradong, Terengganu serta SK Perwira, Teluk Intan di Perak.

Lokasi lain, SK Machang Bubok, Pulau Pinang; SK Beradek, Kuching, Sarawak sementara di Kedah dan Sabah masih di peringkat penilaian JPBN negeri berkenaan.

Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) sebelum ini memaklumkan, negara sudah berada dalam fasa Peralihan Monsun sejak 19 September dan berterusan sehingga November ini.

Susulan peralihan fasa monsun itu, negara akan menerima tiupan angin lemah dari pelbagai arah kondusif untuk kejadian ribut petir yang lazimnya membawa hujan lebat berserta angin kencang dalam jangka masa singkat, sekali gus boleh mengakibatkan banjir berlaku di beberapa lokasi.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com