Thursday, 16, May, 2024
Utama Negeri Wanita meninggal dunia ketika solat Asar

Wanita meninggal dunia ketika solat Asar

oleh Ammar Haziq

SUNGAI PETANI – Seorang wanita dipercayai meninggal dunia semasa solat Asar di surau di sebuah hotel di Sungai Petani pada Sabtu.

Latipah Yusof, 65, yang merupakan suri rumah itu ditemui meninggal dunia oleh suaminya pada jam 6.30 petang ketika mendengar orang menjerit meminta tolong menyatakan terdapat wanita terbaring ketika solat.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, sebaik menerima laporan anggota polis di hantar ke tempat kejadian.

Menurutnya, wanita itu berasal dari Kamunting, Perak datang ke hotel terbabit bersama suaminya untuk menghadiri satu majlis.

“Hasil siasatan ke atas suami mangsa memberi tahu mereka tiba di hotel itu pada waktu Asar dan terus ke surau hotel yang terletak di tingkat dua.

“Suami mangsa ketika itu sedang solat di bahagian lelaki dan ketika rakaat ketiga suami mangsa terdengar ada suara di bahagian solat wanita berkata, ada orang jatuh.

“Suami mangsa yang mengesyaki sesuatu terjadi pada isterinya terus ke ruang solat wanita dan terlihat isterinya sudah tidak sedarkan diri,” katanya kepada pemberita.

Jelas Zaidy, suami mangsa mengatakan isterinya mengadu tidak sihat dan semasa dalam perjalanan mangsa sering tidur.

Katanya, suami mangsa turut memaklumkan isterinya mempunyai sakit darah tinggi dan pernah terkena ‘stroke’ dan mendapat rawatan di Hospital Ipoh sebelum ini.

“Siasatan polis mendapati tiada unsur jenayah dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” ujarnya.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com