Thursday, 2, May, 2024
Utama Negeri Rolex RM49,500 milik tauke stesen minyak hilang dalam rumah

Rolex RM49,500 milik tauke stesen minyak hilang dalam rumah

oleh Ammar Haziq
PDRM

SUNGAI PETANI, 10 OKT – Seorang lelaki warga emas membuat laporan polis selepas menyedari jam tangan Rolex miliknya yang berharga RM49,500 hilang di rumahnya di Bandar Laguna Merbok, di sini kelmarin.

Kehilangan jam berjenama mewah itu hanya disedari pemilik sebuah stesen minyak dan ladang kelapa sawit berkenaan pada jam 10 pagi ketika dia berada di rumah sebelum mangsa membuat laporan polis kerana mengesyaki ia kemungkinan dicuri.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata susulan daripada laporan yang dibuat lelaki berusia 65 tahun itu, polis menahan dua pekerja kedai perabot bagi membantu siasatan dalam kes berkenaan.

‘Mangsa dalam laporannya mendakwa jam tangan mewah berwarna emas berkenaan diletakkan di atas piano tepi tangga rumahnya.

“Hasil siasatan mendapati dua lelaki yang juga pekerja kedai perabot datang ke rumah mangsa untuk menghantar tilam dibelinya sehari sebelum itu,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, ketika itu hanya isteri mangsa berada di rumah mereka dan wanita terbabit menunggu dua pekerja kedai perabot berkenaan sehingga mereka selesai melakukan kerja.

“Pemeriksaan mendapati hanya dua pekerja terbabit adalah individu luar yang berada serta masuk ke dalam rumah berkenaan dan mereka kini ditahan untuk siasatan lanjut.

“Suspek masing-masing seorang lelaki tempatan dan seorang warga Bangladesh yang mempunyai permit kerja sah ditahan pada hari sama mangsa membuat laporan polis,” katanya.

Zaidy berkata, pemeriksaan mendapati lelaki tempatan kedua-dua mereka tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau.

“Suspek lelaki tempatan berusia 50 tahun manakala suspek warga Bangladesh berusia 51 tahun masing-masing sudah bekerja selama 30 dan 10 tahun di kedai perabot terbabit.

“Pemeriksaan lanjut di rumah serta asrama suspek tidak menemui jam tangan berkenaan namun siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seskyen 380 Kanun Keseksaan,” katanya.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com