Saturday, 27, April, 2024
Utama Mahkamah & Jenayah Langgar syarat sah lesen, bot nelayan ditahan

Langgar syarat sah lesen, bot nelayan ditahan

oleh Ammar Haziq

LANGKAWI – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Kedah dan Perlis telah menahan sebuah bot nelayan tempatan kelas C di kedudukan 6.9 batu nautika selatan Pulau Ajar Langkawi, pukul 11.00 pagi semalam.

Pengarah Maritim Negeri Kedah dan Perlis, Laksmana Pertama Maritim Romli bin Mustafa berkata, bot nelayan berkenaan ditahan oleh bot Maritim Malaysia yang sedang mengadakan rondaan rutin dan penguatkuasaan di sekitar perairan Langkawi.

Hasil pemeriksaan mendapati, bot nelayan terbabit dikendalikan oleh tekong bersama tiga awak-awak terdiri daripada seorang warga Thailand dan dua orang warga Kemboja. Kesemua mereka berumur lingkungan 34 hingga 72 tahun.

Bot nelayan terbabit disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat sah lesen dengan salah seorang dari awak-awak bot berkenaan tidak mempunyai passport di samping tidak menyediakan alat pemadam api kecil seperti (APAK) seperti disyaratkan di dalam lesen.

Bot, tekong, kru termasuk hasil tangkapan dianggarkan seberat 800 kilogram ditahan dan dibawa ke Jeti Maritim Bukit Malut, Langkawi untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk siasatan lanjut.

Maritim Malaysia memandang serius terhadap operasi penguatkuasaan di laut dan akan mengambil tindakan tegas kepada individu yang melakukan aktiviti jenayah di perairan negara.

Sebarang aduan dan maklumat mengenai kegiatan jenayah maritim serta kecemasan di laut, sila hubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Kedah dan Perlis di talian 04-9662750 atau di talian kecemasan MERS 999 untuk tindakan segera.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com