Sunday, 5, May, 2024
Utama Negeri 250 keluarga terima sumbangan yayasan Petronas sempena Deepavali

250 keluarga terima sumbangan yayasan Petronas sempena Deepavali

oleh Ammar Haziq
Ketua Wilayah Tengah dan Utara Petronas, Zulkifli Othman, kiri menyampaikan sumbangan Yayasan Petronas kepada keluarga memerlukan, baru-baru ini.

LANGKAWI, 23 Oktober 2022 – Seramai 250 keluarga kurang berkemampuan di Kedah, menerima sumbangan pek perayaan daripada Yayasan Petronas yang diagihkan secara berperingkat di Langkawi, Kulim dan Kota Setar sempena sambutan Deepavali, esok.

Ketua Wilayah Tengah dan Utara Petronas, Zulkifli Othman berkata, sumbangan tersebut merupakan sebahagian daripada lebih 2,000 pek hamper perayaan diserahkan yayasan berkenaan, kepada golongan B40 di seluruh negara menerusi program Sentuhan Kasih bermula 12 hingga 20 Oktober lalu.

Menurutnya, sumbangan tersebut diserahkan kepada penerima melalui jalinan kerjasama bersama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) daerah tersebut.

“Mendukung mesej Yayasan Petronas, kami berharap sumbangan ini dapat menceriakan keluarga penerima untuk persediaan bagi menyambut perayaan Pesta Cahaya tidak lama lagi.

“Bukan itu sahaja, kami juga menyediakan barangan pek perayaan yang juga dihasilkan daripada pengusaha kecil tempatan dalam usaha kami menyokong komuniti.” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Antara barangan keperluan yang disumbangkan adalah beras, minyak masak, tepung, minyak sapi serta rempah ratus bagi masakan perayaan Deepavali seperti serbuk masala Briyani dan banyak lagi.

Vellaima Punusamy, 77, antara penerima bantuan pek perayaan Sentuhan Kasih Yayasan Petronas bersempena sambutan Deepavali di Kedah.

Sementara itu, Pengarah JKM Kedah, Shaballah Zainal Abidin berkata, semua penerima dikenal pasti menerusi maklumat daripada pemimpin masyarakat atau individu itu sendiri yang memerlukan bantuan.

“JKM amat memerlukan kerjasama menerusi program CSR seperti ini bagi membantu masyarakat.

“Kami amat berterima kasih kepada Yayasan Petronas serta berharap lebih banyak syarikat korporat dapat meneruskan kerjasama seperti ini, ” katanya.

Dalam pada itu salah seorang penerima sumbangan tersebut, Vellaima Punusamy, 77, dari Taman Sungai Raya, Langkawi, berterima kasih dan menyatakan rasa gembira di atas sumbangan diberikan itu.

“Terima kasih kepada kepada Yayasan Petronas kerana memberikan sumbangan ini. Sudah pasti barangan ini menjadi kelengkapan kami untuk menyambut Deepavali nanti.

“Tidak lupa juga kepada JKM di Langkawi yang tidak pernah melupakan golongan kurang berkemampuan seperti saya,” ujarnya.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com