Sunday, 12, May, 2024
Utama Nasional G77 + China: Malaysia terus sokong negara membangun, rapat jurang percepat Agenda 2030

G77 + China: Malaysia terus sokong negara membangun, rapat jurang percepat Agenda 2030

oleh Ammar Haziq

KUALA LUMPUR: Malaysia akan terus memainkan peranannya dalam menyokong negara-negara membangun atau Dunia Selatan terutamanya bagi komitmen Agenda 2030 dan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), kata Menteri Luar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.

Mengakui jurang antara negara membangun dan negara maju kian melebar, Zambry yang menyampaikan Kenyataan Malaysia pada Persidangan G77+China di Havana, Cuba pada Sept 16 menekankan kini, terdapat keperluan untuk mengukuhkan lagi komitmen dan tanggungjawab kolektif antara Dunia Selatan dan Utara.

Katanya sebagai satu daripada ahli pengasas Kumpulan G77, Malaysia amat berbangga dengan kemajuan yang dicapai oleh G77+China dalam isu-isu penting buat negara membangun.

“Komitmen dan tanggungjawab untuk merapatkan jurang keutamaan dalam mempercepatkan Agenda 2030 amat diperlukan.

“Malaysia akan terus memainkan peranannya dalam menyokong negara-negara membangun atau Dunia Selatan,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Kementerian Luar hari ini.

Zambry menambah Malaysia telah mengukuhkan komitmen dengan Kerjasama Selatan-Selatan melalui pembaharuan terma kerjasama Pusat Sains, Teknologi dan Inovasi Antarabangsa untuk Kerjasama Selatan-Selatan (ISTIC) di Kuala Lumpur.

Pusat itu di bawah naungan UNESCO sejak tahun 2008.

Sehingga kini, ISTIC-KL telah menyumbang kepada Kerjasama Selatan-Selatan melalui lebih 30 Program Latihan STI dengan rakan kongsi strategik; dan memanfaatkan lebih 1,000 peserta dari hampir 100 negara.

Malaysia juga telah melancarkan Platform Sains Terbuka Malaysia (MOSP) pada Mei 2023, bertujuan memupuk budaya Sains Terbuka iaitu menjadikan penyelidikan saintifik dan data dapat diakses oleh semua.

Malaysia akan terus mengalu-alukan penyertaan negara-negara membangun dalam Program Kerjasama Teknikal Malaysia (MTCP) yang merupakan platform bagi perkongsian pengalaman dan kepakaran dalam pembangunan.

Sejak penubuhannya pada tahun 1980, MTCP telah memanfaatkan lebih daripada 37,000 peserta dari 144 negara penerima.

Sehingga hari ini, MTCP kekal sebagai manifestasi kukuh komitmen Malaysia terhadap Kerjasama Selatan-Selatan, tambah kenyataan itu lagi.

“Malaysia bersedia untuk bekerjasama rapat dengan G77+China dan ahli-ahlinya dalam usaha bersama untuk pembangunan ekonomi, keamanan dan kemakmuran yang mampan,” kata Zambry.

G77+China ialah organisasi antara kerajaan terbesar dalam kalangan negara membangun di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), menyediakan platform bagi negara-negara Selatan untuk menyuarakan, mempromosi dan memajukan kepentingan ekonomi secara kolektif serta kerjasama untuk pembangunan.

Malaysia adalah antara ahli pengasas kumpulan itu.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com