Wednesday, 1, May, 2024
Utama Negeri Warga emas maut kemalangan dengan treler dalam perjalanan ke masjid

Warga emas maut kemalangan dengan treler dalam perjalanan ke masjid

oleh Ammar Haziq

ALOR SETAR – Seorang lelaki warga emas maut digilis treler dalam kemalangan di Jalan Gangsa, Mergong, dekat ini dipercayai dalam perjalanan ke masjid untuk mengaji al-Quran pada pagi Rabu.

Mangsa, Abdul Mutalib Abdullah, 76 dikatakan baharu sahaja membeli membeli ubi di Pasar Borong Alor Setar yang dipesan oleh isterinya berniaga kuih di hadapan rumah mereka di Kampung Kubang Teduh, mukim Gunong.

Anak sulung mangsa, Syeikh Radzi Abdul Mutalib, 51, berkata, pada mulanya dia hanya menyangkakan bapanya hanya terbabit dalam kemalangan biasa dan terus ke Jabatan Kecemasan Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar untuk melakukan semakan.

Menurutnya, dia dimaklumkan nama mangsa tiada di situ sebelum ke Hospital Lama Alor Setar kerana menyangka mungkin bapanya dihantar ke hospital itu.

“Bagaimanapun, bapa juga tiada di sana dan saya terus terus ke lokasi kejadian di Jalan Gangsa, Mergong untuk melihat apa yang berlaku.

“Saya sedar bapa telah meninggal dunia apabila menerima ucapan takziah daripada aplikasi WhatsApp kumpulan rakan sekolah,” katanya pada Rabu.

Syeikh Radzi yang juga Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penyelidikan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah (JHEAIK) berkata, bapanya tidak menunjukkan sebarang perubahan semasa Hari Raya Aidilfitri.

Menurutnya, terakhir mereka bertemu semasa dia ketika dia singgah di rumah orang tuanya pada Selasa selain sempat membeli pasembor kegemaran bapanya.

“Arwah bapa kelihatan gembira menyambut kepulangan anak cucu beraya di kampung ketika sambutan Aidilfitri minggu lepas,” ujarnya yang terkejut menerima maklumat tentang kejadian menimpa bapanya itu.

Tambahnya, jenazah bapanya akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Kubang Teduh selepas solat Isyak pada Rabu.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com