Monday, 6, May, 2024
Utama Negeri PKPD : Tujuh sekatan jalan menghala ke Kota Setar

PKPD : Tujuh sekatan jalan menghala ke Kota Setar

oleh Ammar Haziq

ALOR SETAR – Polis mengadakan tujuh sekatan jalan raya menghala ke Kota Setar sempena pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Secara Pentadbiran bermula jam 12.01 malam tadi sehingga 25 September ini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Setar, Superintendan Mohd Redzuan Salleh berkata, sekatan jalan raya bertujuan untuk menghalang pergerakan keluar masuk ke daerah ini bagi mengekang penularan Covid-19 kluster Sungai dan Telaga.

Menurutnya, tujuh jalan tersebut adalah di hadapan Restoran Haji Ramli Simpang Empat; Jalan Batas Paip, Kuala Kedah; hadapan Balai Polis Alor Janggus; hadapan Balai Polis Kepala Batas; Jalan Hutan Kampung; Tol Alor Setar Utara dan Tol Alor Setar Selatan.

Polis menutup jalan simpang tiga Kepala Batas, Alor Setar bagi laluan menghala ke Kota Setar semalam.

Sebanyak 350 anggota polis dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan bergilir-gilir menjaga sekatan jalan raya tersebut selama 24 jam.

Bagi laluan tikus pula, pasukan peronda polis akan sentiasa membuat pemantauan bagi memastikan perintah kerajaan agar masyarakat tidak bergerak bebas sepanjang tempoh kuarantin selama dua minggu ini. -KG

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com