Thursday, 16, May, 2024
Utama Nasional Lebih 17,000 pelajar UUM terima manfaat menu Keluarga Malaysia

Lebih 17,000 pelajar UUM terima manfaat menu Keluarga Malaysia

oleh Ammar Haziq
Naib Canselor UUM, Prof. Dr. Haim Hilman Abdullah (tengah) menyantuni pelajar-pelajar UUM.

SINTOK– Lebih 17,000 pelajar Universiti Utara Malaysia (UUM) menerima manfaat daripada inisiatif Menu Keluarga Malaysia pada harga RM3.50 yang diperkenalkan di setiap kafeteria di dalam kampus.

Ini adalah tanda bahawa UUM amat cakna dan prihatin terhadap kebajikan pelajarnya sepanjang tempoh pengajian mereka di kampus dalam usaha meringankan beban mereka.

Selain itu, UUM turut memberi baucar makan percuma berjumlah RM 5.00 setiap hari kepada 140 pelajar terpilih dari golongan B40 untuk membeli makanan di kafeteria di setiap Inapan Siswa (INASIS).

Bagi memastikan kadar harga makanan di dalam berada pada kadar harga yang berpatutan, UUM juga telah melaksanakan kawalan harga makanan dan barangan di kedai runcit demi menjaga kebajikan pelajar dalam menangani kenaikan kos sara hidup.

Naib Canselor UUM, Prof. Dr. Haim Hilman Abdullah berkata, UUM sentiasa menyahut seruan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dalam memastikan bahawa harga barang dan makanan dalam kampus terus terkawal dan tidak membebani pelajar.

Menurutnya, UUM sentiasa bekerjasama dengan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) dan Majlis Presiden Jawatankuasa Kepimpinan dan Pembangunan Siswa Inapan Siswa serta pemimpin-pemimpin pelajar dalam mendapatkan sumber maklumat berkaitan sebarang isu dan permasalahan melibatkan kebajikan pelajar.

Jabatan Hal Ehwal Pelajar UUM juga akan terus menerus memantau tanda harga makanan dan barangan di semua premis dalam kampus agar tiada sebarang kenaikan harga sewenang-wenangnya hingga membebankan pelajar terutama dari golongan B40.

Di samping itu, UUM turut menyahut inisiatif KPT yang memperkenalkan Food Basket Siswa Keluarga Malaysia dan telah mengedarkan bakul makanan kepada 450 orang pelajar B40 secara terus di semua INASIS dalam kampus sejak 2021.

UUM juga sedang memperkasakan inisiatif Food Bank Siswa dan Food@Campus dengan terus bekerjasama pelbagai pihak lain seperti kementerian, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), alumni, syarikat-syarikat korporat dan badan-badan persendirian untuk menyalurkan bantuan kepada pelajar dengan menyediakan barangan makanan dan minuman secara percuma dan berterusan.

UUM juga telah memperkenalkan inisiatif On Campus Job (OCJ) sejak 2020 yang membolehkan pelajar bekerja sambil belajar bagi menampung kos hidup mereka sepanjng tempoh pengajian.

Selain memberi pendedahan awal tentang dunia pekerjaan, inisiatif ini juga dapat membantu pelajar mencari pendapatan sampingan secara lebih teratur.

Selain daripada inisiatif di atas, UUM juga turut menyediakan perkhidmatan bas percuma kepada pelajar untuk ke pekan berhampiran bagi membolehkan pelajar membeli barangan keperluan asas dan turut menyediakan bas untuk pelajar pulang ke kampung halaman pada cuti semester tidak lama lagi.

Semua inisiatif yang diambil ini diharapkan dapat memastikan kelangsungan kebajikan pelajar UUM terus dijaga dan pengajian mereka tidak terganggu akibat kenaikan kos sara hidup kini.

UUM Corporate Communication

Universiti Utara Malaysia

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com