Tuesday, 30, April, 2024
Utama Nasional PM minta kerajaan negeri ambil tindakan kolam Musang King di Gunung Inas

PM minta kerajaan negeri ambil tindakan kolam Musang King di Gunung Inas

oleh admin

BALING, 1 Sept. – Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob meminta kerajaan negeri mengambil tindakan terhadap tiga kolam takungan ladang durian Musang King di Puncak Gunung Inas, yang menimbulkan kebimbangan dalam kalangan penduduk setempat ketika ini.

Menurut Perdana Menteri, kerajaan negeri diminta untuk mengambil tindakan sewajarnya berkenaan perkara itu kerana kewujudan kolam tersebut terletak di bawah bidang kuasa negeri.

“Jadi kita mintalah perhatian daripada kerajaan negeri sebab saya difahamkan ada tiga kolam besar menakung air di situ. Saya faham penduduk kampung bimbang sekiranya kolam itu pecah, pastinya akan bawa bencana lebih besar.  

“Sebelum ini tak ada kolam pecah dan yang pecah cuma tandak. Jadi saya minta kerajaan negeri ambil tindakan sewajarnya dan macam mana nak dibuat, itu terserah kepada kerajaan negeri.

“Tetapi isu kolam itu perlu diselesaikan. Kalau tidak, jika kita kita bina dan siapkan rumah nanti dan kolam itu pecah, banjir lebih teruk mungkin berlaku daripada apa yang pernah dihadapi penduduk.

“Jadi demi keselamatan penduduk, saya akan bincang dengan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor supaya diambil tindakan segera,” katanya dalam sidang akhbar pada Majlis Doa Selamat Sambutan 65 Tahun Kemerdekaan dan Bencana Banjir Daerah Baling.

Terdahulu beliau meluangkan masa hampir dua jam meninjau lokasi bencana Kampung Iboi dan menghadiri Majlis Doa Selamat Sambutan 65 Tahun Kemerdekaan dan Bencana Banjir Daerah Baling.

Sementara itu beliau dalam sidang akhbar sama turut mengarahkan agar segala kerja baik pulih dan pembinaan semula infrastruktur yang rosak akibat bencana banjir lumpur serta aliran puing di Kampung Iboi, dapat disiapkan segera demi kesejahteraan rakyat.

Beliau dalam pada itu turut mengumumkan beberapa peruntukan bagi membina kemudahan baharu buat penduduk di kawasan terjejas.

Satu daripada peruntukan itu berjumlah RM10 juta bagi membaiki jambatan konkrit di Kampung Iboi bagi menggantikan jambatan lama yang runtuh, selain jambatan bailey yang digunakan secara sementara buat masa ini.

“Jambatan itu pendek tetapi memerlukan kos besar kerana perlu dibina agak tinggi bagi mengelakkannya putus jika dilanda banjir sekali lagi.

“Selain itu sebanyak RM3 juta akan diperuntukan untuk membina rumah baharu bagi memindahkan 17 keluarga yang mana kediaman mereka kini terletak dalam kawasan berisiko di tepi Sungai Kupang. Selain itu, terdapat juga peruntukan berjumlah RM4.8 juta untuk menggantikan 17 titi yang terjejas akibat kejadian banjir serta aliran puing pada 4 Julai lalu,” katanya.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com