Thursday, 2, May, 2024
Utama Negeri Pengurus syarikat ditahan bantu siasatan kes cabul anak

Pengurus syarikat ditahan bantu siasatan kes cabul anak

oleh Ammar Haziq
Suspek sudah ditahan jam 12 tengah hari kelmarin dan dia kini direman selama tujuh hari bermula semalam bagi membantu siasatan berhubung kes cabul terhadap anak-anaknya.

ALOR SETAR, 7 OKT – Seorang lelaki yang juga pengurus sebuah syarikat ditahan selepas isterinya membuat laporan polis mendakwa anak mereka menjadi mangsa cabul suaminya itu ketika berada di rumah mereka di sebuah kawasan perumahan, di sini.
 
Selain itu, wanita berusia 40-an terbabit turut membuat laporan polis mendakwa dia menjadi mangsa seks luar tabii suaminya sejak mereka berkahwin dan perbuatan itu hanya terhenti dua tahun lalu selepas mangsa yang tidak tahan dengan kejadian terbabit keluar rumah bersama anak-anak.
 
Mangsa yang juga ibu kepada lima anak masing-masing seorang lelaki dan empat perempuan itu sebelum ini hanya mampu memendam segala penderitaan kerana malu untuk mengadu selain ditegah suami yang kerap menggunakan hujah berlandaskan agama.
 
Wanita malang berkenaan juga turut membawa semua anak keluar daripada rumah dua tahun lalu dan dikatakan menetap di sebuah negeri kerana bimbang selepas dia membuat laporan polis mendakwa anak lelaki dan perempuannya kemungkinan turut menjadi mangsa cabul suami.
 
Menurut sumber, wanita terbabit dalam laporannya ketika itu mendakwa suami kerap memegang kemaluan anak lelaki yang berusia lapan tahun ketika mandi bersama dengan alasan mahu mengurut.
 
“Wanita terbabit menegur perbuatan suaminya dengan memberitahu yang tindakan itu (memegang kemaluan) akan memberi kesan buruk kepada anak mereka selain turut mendakwa semua anak perempuannya dicabul lelaki berkenaan.
 
“Selain itu, wanita berkenaan juga mula risau kerana dia menemui pelbagai barang serta peralatan seks seperti kondom, minyak pelincir dan organ kemaluan lelaki yang disimpan suaminya ketika itu,” katanya.
 
Sumber berkata, wanita berkenaan yang bimbang dengan keselamatan anak-anak membuat laporan polis dan membawa semua anaknya keluar dari rumah mereka.
 
“Selepas sekian lama memendam rahsia selain bimbang keselamatan anak-anak yang sudah meningkat remaja, mangsa akhirnya mempunyai kekuatan dan turut membuat laporan polis, baru-baru ini mendakwa dia menjadi mangsa seks luar tabii suami sejak mereka berkahwin pada kira-kira 16 tahun lalu.
 
“Sebelum ini, mangsa mendakwa dia takut serta malu kerana bimbang dituduh sengaja mereka cerita berikutan suaminya seorang yang berpewatakan alim dan akan menafikan segala kejadian menggunakan hujah agama,” katanya.
 
Sementara itu, Ketua Polis Kedah Datuk Wan Hassan Wan Ahmad mengesahkan menerima laporan dan juga penahanan suspek namun enggan mengulas lanjut berhubung kes terbabit kerana siasatan masih dijalankan.
 
“Suspek sudah ditahan jam 12 tengah hari kelmarin dan dia kini direman selama tujuh hari bermula semalam bagi membantu siasatan berhubung kes cabul terhadap anak-anaknya,” katanya ketika dihubungi.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com